Islam tidak mendiskriminasi sesiapa pun, kata tokoh debat MDI
Oleh Siti Farhana Fathy
AMPANG, Isnin – Pemerkasaan Islam adalah lebih utama berbanding memperkasakan individu tertentu kerana Islam tidak akan mendiskriminasi sesiapa di bawahnya.
“Daripada kita memperkasakan manusia, kita perlu memperkasakan Islam kerana agama ini tidak mendiskriminasi sesiapa di bawahnya dan siapa yang berkuasa perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan baik tanpa mengira jantina,” kata tokoh debat antarabangsa Muslim Debate Initiative (MDI), Zara Huda Faris.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan 13 calon muslim dalam pilihan raya Britain dengan lapan daripadanya adalah wanita, baru-baru ini.
“Lelaki yang berkuasa tidak menggambarkan keseluruhan lelaki dalam masyarakat, wanita yang berkuasa tidak menggambarkan keseluruhan wanita dalam masyarakat, begitu juga muslim yang berkuasa di dalam sistem demokrasi sekular tidak semestinya dapat menjaga kepentingan orang Islam,” jelas beliau.
Menurut beliau, pemikiran bahawa kuasa yang dipegang oleh demografik tertentu akan membawa perubahan kepada demografik tersebut adalah satu kesalahan.
“Sebagai contoh, Benazir Bhutto dan Margaret Thatcher, antara Perdana Menteri wanita di dunia, tidak membawa perubahan atau penambahbaikan sama ada kepada wanita atau lelaki.
“Begitu juga Rwanda, negara yang sebahagian besar Ahli Parlimennya adalah wanita memperlihatkan keadaan negaranya yang sangat teruk,” katanya.
Zara Huda berkata, dalam sistem demokrasi, terdapat pelbagai sebab seseorang itu tercalon dan permainan politik adalah sangat licik.
“Apa yang sebenarnya ia gambarkan adalah kefahaman lemah orang Islam terhadap sistem politik.
“Keputusan mereka diundi tidak membawa makna yang besar selain daripada orang muslim berfikir bahawa sistem demokrasi boleh menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan