Anak-anak Kelab Remaja Isma santuni gelandangan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kelab Remaja Isma (KRIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Skuad Sukarelawan Persatuan Belia Islam (PEMBINA) Kuala Lumpur dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, buat pertama kalinya mengadakan program Sentuhan Ramadan yang menyantuni 50 orang gelandangan yang menetap di pusat transit berkenaan. 

Seramai 880 orang pelajar dari sekolah – sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur berpeluang menyertai program ini, antaranya ialah SMK Petaling, SMK Kiaramas, SMK Subang Bestari, SMK Dato Harun, SMK Seri Tasik dan SMK (P) Taman Petaling.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi tadarus Al-Quran berkumpulan, gotong – royong untuk menyediakan agihan sumbangan dan disertai sahur bersama warga pusat transit ini.

Antara sumbangan yang dibekalkan ialah satu pek kurma, biskut serta kelengkapan untuk kebersihan diri termasuk berus gigi, ubat gigi dan juga tuala.

Para peserta juga berkesempatan untuk solat Subuh berjemaah bersama warga transit dan mendengar perkongsian daripada wakil PEMBINA Universiti Malaya, saudara Auzan dan wakil daripada pusat transit, Encik Fauzi.

Pengarah Program Sentuhan Ramadan, Encik  Mohd Hanif Bin Mohd Shaidi berkata program ini diharapkan dapat menjadi platform untuk sama-sama menyantuni warga gelandangan yang menetap di pusat transit berkenaan di samping memupuk rasa syukur di dalam diri remaja serta mendidik remaja untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Program Sentuhan Ramadan ini merupakan salah satu program tahunan KRIM di bawah program Kempen Remaja Gemilang Malaysia untuk mengangkat imej positif Remaja Malaysia menerusi pelbagai kejayaan yang dikecapi di pelbagai peringkat.

Program ini bertujuan untuk mengajak golongan remaja beraktivisme, di samping menanam kesedaran dan motivasi kepada remaja untuk mereka mengenali potensi dan kekuatan yang boleh disumbangkan kepada masyarakat dan pada masa yang sama mendapat suntikan  keinginan untuk terus membawa imej positif remaja.

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian