Insiden MH128: MAS wajib henti hidang arak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Ramadan 1438H, Khamis – Malaysia Airlines Berhad (MAB) digesa menghentikan hidangan arak di atas pesawatnya susulan kes penumpang mabuk mendakwa membawa bahan letupan dan cuba menceroboh masuk kokpit MH128 yang dalam penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya memandang serius insiden ini kerana ia bukanlah kali pertama perkara seumpama itu berlaku.

“Menurut rekod, pada Januari lepas, sebuah mahkamah di Birmingham telah menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun 6 bulan ke atas seorang inidivu bernama John Cox akibat merokok di dalam penerbangan.

“Manakala insiden penumpang mabuk melakukan percubaan untuk menceroboh masuk kokpit juga berlaku pada April 2014 di mana seorang rakyat Australia, Matt Lockley dilaporkan telah menimbulkan gangguan di dalam penerbangan VA41 daripada Brisbane, Australia ke Bali, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Fadhli menggesa kerajaan membuat perubahan, termasuk menghentikan serta-merta hidangan minuman beralkohol yang boleh memberikan ancaman terhadap keselamatan penerbangan dalam pesawat MAS.

“Jika sebelum ini, keputusan MAS untuk menghentikan hidangan minuman beralkohol hanya tertakluk kepada penerbangan yang kurang daripada tiga jam sahaja dan ternyata tindakan itu dipuji oleh rata-rata masyarakat awam yang merupakan pelanggan MAS.

“Kerajaan wajar mencontohi tindakan negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain dan beberapa buah negara lagi yang lebih tegas di dalam isu ini. Bahkan negara sekecil Brunei pun lebih berani dengan mengharamkan terus hidangan arak di dalam penerbangan Royal Brunei Airlines,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan kerajaan terhadap nasib ribuan kakitangan MAS yang beragama Islam yang terpaksa terlibat dengan perbuatan yang nyata sekali bercanggah dengan tuntutan agama mereka ini.

Fadhli turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dilaknat pada arak, peminumnya, penuangnya, pembelinya, orang yang minta dibelikan, pembawanya, orang yang minta dibawakan kepadanya, pemerahnya, orang yang minta diperahkan dan orang yang makan dari hasil arak…” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi)

“Sesungguhnya kedamaian dan ketenteraman itu hanya akan diperoleh dengan adanya unsur keberkatan. Sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh Perdana Menteri beragama Islam, inilah masanya untuk melakukan perubahan jika benar-benar ingin berubah,” katanya.

Penerbangan tersebut yang berlepas dari Lapangan Terbang Melbourne pada jam 11.11 malam sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur pada jam 5.28 pagi 1 Jun namun terhalang akibat gangguan yang ditimbulkan oleh penumpang terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ab Aziz Kaprawi berkata, ia bukanlah satu rampasan bahkan hanya gangguan yang disebabkan oleh seorang penumpang yang mabuk manakala bahan letupan yang didakwa dibawa bersama itu hanyalah sebuah ‘powerbank’ sahaja.

The post Insiden MH128: MAS wajib henti hidang arak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian