Konflik Qatar: Israel akan dapat manfaat

KENAPA tidak  meningkatkan tekanan  kepada Israel yang  sejak 1948 menjadi pengganas  menzalimi rakyat Palestin?  Kenapa memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar?

Adakah Israel  yang menceroboh Palestin,  merampas tanah dan membunuh rakyatnya  bukan pengganas?  Kenapa  Qatar?  Adakah kerana Qatar tidak memusuhi  Ikhwanul Muslimin dan Hamas yang tahap “keganasannya” melampaui Israel?

Apakah permainan sebenarnya di sebalik tindakan drastik yang  memberikan kesan sangat besar terhadap geopolitik di Asia Barat?  Tindakan  ini  memperagakan pemikiran pemimpin Islam di dunia Arab  mudah  dipengaruhi  Barat  tanpa melihat  kesan jangka panjang kepada umat Islam seluruhnya.

Lima negara dunia Arab;  Arab Saudi,  Emeriah Arab Bersatu (UAE),  Bahrin, Mesir dan Yaman telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Alasannya sangat meragukan. Kelima-lima negara ini bersepakat  mengambil tindakan demikian kerana  sokongan Qatar kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir dan  Hamas di Palestin.

Kenapa tiba-tiba timbul isu pengganas dan Qatar?    Adakah ini kena mengena dengan penegasan  Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa melawat Asia Barat termasuk Arab Saudi  dan Israel supaya memerangi pengganas?  Dalam kelima-lima negara itu, yang paling dominan ialah Arab Saudi dan Mesir.  Kedua-duanya pula mempunyai sejarah keakraban yang luar biasa dengan AS.

“Extremism, and all reference was pointing to Qatar. Perhaps this will be the beginning of the end to the horror of terrorism!”   Ini adalah Twitter  Trump  pada 6 Jun lalu  dan sama sekali tidak boleh diperemehkan.  Trump secara terang menyasarkan Qatar sebagai pelindung pengganas di rantau Asia Barat. Faktor  Trump membuat kenyataan demikian  bukan satu jenaka.

Kalau ditinjau  lebih mendalam,  Mesir  adalah  proksi AS di Asia Barat selain  anak angkatnya,  Israel.   Kecuali Mohamad Morsi,  semua Presiden Mesir adalah dalam kalangan pemimpin tentera dan bukan rahsia lagi  tentera Mesir mendapat dana  tahunan yang besar  dan  dua pertiga daripada dana itu disalurkan kepada ketenteraan, selebihnya untuk prasarana bagi kesejahteraan rakyat. Morsi adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dipilih menjadi Presiden dalam pilihan raya bebas  Mesir yang pertama.

Disebab Morsi  pemimpin Ikhwanul Muslimin serta bukan proksi  Barat , AS memainkan peranan mencetuskan huru hara hingga memaksa rampasan kuasa oleh pihak tentera.  Perampas itu adalah pemimpin tentera El Sisi  yang kini menjadi Presiden Mesir dengan dokongan AS.  Serentak dengan kejatuhan Morsi,  orang-orangnya dipenjara  serta banyak yang dihukum mati dan Ikhwanul Muslimin diharamkan.

Nah,  dalam penghukuman kepada Qatar  baru-baru ini,  nama  Ikhwanul Muslimin disebut sebagai alasan termasuk  pergerakan Hamas yang menentang  kezaliman Israel di Palestin.  Ikhwanul Muslimin telah dikambinghitamkan untuk menjatuhkan Qatar yang  memusuhi Israel.  Suara Israel  tidak kedengaran dalam konflik terbaru ini tetapi  tetap memainkan peranan di belakang tabir sambil menangguk keuntungan.

Sebenarnya ketegangan negara-negara Arab dengan  Qatar bukan baru. Pada 2014  misalnya, Bahrain, Arab Saudi, dan  UAE  telah  menarik balik   Duta Besar   masing-masing dengan alasan  Qatar mencampuri hal elwal dalaman negara berkenaan. 

Sokongan Qatar kepada Ikhwanul Muslimin juga sebahagian alasannya.  Bagaimanapun keadaan  reda apabila Qatar memaksa Ikhwanul Muslimin keluar dari negara itu.  Ikhwanul Muslimin digambarkan lebih besar jenayahnya berbanding  tentera Zionis  Israel.

Pada 2012 pula ketika meletusnya Kebangkitan Arab,  Qatar  dituduh  menyokong  Presiden  Mesir ketika itu,  Mohamad Morsi dari Ikhwanul Muslimin.  Selain itu  Qatar telah memberikan ruang kebebasan yang besar kepada agensi beri Al Jazeera menyiarkan liputan Kebangkitan Arab hingga melumpuhkan negara-negara terbabit.

Bagaimanapun yang paling menimbulkan kemarahan negara Arab terutama Arab Saudi  ialah selepas agensi berita Qatar,  Qatar News Agency  (QNA) digodam yang membawa kepada pembocoran  kenyatan-kenyataan sulit pemimpin Qatar  mengenai Arab Saudi.  Antaranya Qatar mempertikaikan kempen-kempen Arab Saudi  untuk menyingkirkan Iran dari kuasa-kuasa lain di Asia Barat.

Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman  semasa memberikan reaksinya kepada media berkata,  tindakan negara-negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar membuka peluang  yang lebih besar memerangi  pengganas. 

Bagaimanapun  beliau tidak  melontarkan  kegembiraannya bahawa  tindakan ke atas  Qatar  menjadi pemangkin teranjak lagi perjanjian damai  Israel – Palestin.  Ini kerana Qatar dilihat menjadi paksi kekuatan Hamas dari segi ketenteraan dan kewangan.

Pada  1996, Qatar  menjadi  negara pertama dalam dunia Arab  menjalinkan hubungan dagang  dengan  Israel. Bagaimanapun  kerana kezaliman tentera Zionis Israel melancarkan  perang ke atas Gaza  pada 2008 dan 2009 yang mengakibatkan 1,200 orang Palestin terkorban,  Qatar  dengan  serta merta menutup pejabat perdagangan Israel di Doha dan mengusir semua  kakitangan. 

Dari segi ekonomi,  Qatar  mempunyai  sumber bumi iaitu minyak dan gas asli yang menjadi pemacu  kepada negara  yang pendapatan perkapita tertinggi.  Sebelum meletusnya konflik  terburuk ini Qatar menjadi  sebutan dunia dan menadah kemasukan pelancong  sempena  penganjuran  Piala Dunia yang dijadualkan pada 2022.  Bagaimanapun  dengan tercetusnya  konflik diplomatik ini,  penganjuran Piala Dunia 2022  menjadi samar-samar.

Simpanan gas aslinya mencecah 25 trilion meter padu  iaitu 13 peratus daripada simpanan gas asli dunia  dan ketiga  terbesar  di dunia.  Sementara  simpanan minyak dijangka  mencapai 25 bilion tong  yang  kalau diambil dalam kuantiti sekarang akan mengambil masa 56 tahun untuk habis.   Ternyata  Qatar mempunyai  hasil yang memungkinkan banyak pihak terutama AS  berhasrat untuk menguasainya  seperti yang berlaku di Iraq.

 Secara diplomatik,   Qatar dilihat mempunyai hubungan rapat dengan AS apabila membenarkan  pangkalan tertera AS  dibina di negara itu.  Tetapi faktor AS tidak boleh diperemehkan  dalam konflik terbaru di Asia Barat ini  apa lagi tindakan memutuskan hubungan diplomatik dibuat selepas beberapa hari  lawatan  Trump ke Asia Barat  khususnya Arab Saudi.  

Barangkali  Qatar  akan dijadikan seperti Mesir ketika diterajui oleh  Presiden Hosni Mubarak.  Walaupun Mesir proksi AS tetapi  pada tangan yang satu lagi AS mendokong  aspirasi  Kebangkitan Arab untuk menumpaskan Mubarak. 

Kesimpulannya konflik  ini menguntungkan musuh Islam  terutama  Israel dan AS.  Tindakan drastik yang  penuh emosi begini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan negara Islam di Asia Barat. Apa lagi  melihat takah  hubungan yang sangat rapuh. Tentunya  tindakan  memulaukan secara diplomatik  ini  membuka ruang kepada musuh untuk memainkan peranan mereka.

Negara-negara Arab  ternyata tidak pernah belajar dari sejarah. Sebaliknya mereka sanggup bersatu untuk memusnahkan antara satu dengan lain.  Tanpa  musuh  Islam sekalipun hubungan antara negara-negara  Arab mudah retak, apa lagi dengan segala macam propaganda oleh Barat  yang bermatlamat menguasai kekayaan negara Islam.

Tanpa sokongan kuat daripada negara yang paling dominan seperti Arab Saudi dan Mesir, tindakan memutuskan hubungan diplomatik terhadap Qatar tidak mungkin berjaya.  Tiga negara lagi,  Bahrin, UAE dan  Yaman tidak mempunyai pengaruh sehebat Mesir dan Arab Saudi.

Tindakan Arab Saudi  mendesak Qatar  memutuskan hubungan dengan pergerakan Hamas sudah pasti akan menguntungkan Israeal.  Tetapi tidak menguntungkan Arab Saudi.  Hamas adalah benteng yang memperlahankan pencerobohan dan kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Mendesak  Qatar  supaya tidak menyokong Ikhwanul Muslimin hanya akan menguntung AS dan proksinya yang menerajui Mesir.  Perlu diingat label “pengganas” kepada Ikhwanul Muslimin dan Hamas adalah dari sisi  Barat.  Apakah negara-negara Islam Arab juga memahami “pengganas” daripada pengertian Barat?

Ku Seman Ku Hussain
Bekas Ketua Pengarang Mingguan Malaysia

The post Konflik Qatar: Israel akan dapat manfaat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian