Nuzul Al-Quran: Tegakkan agenda Al-Quran dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara


SETIAP
tahun kita memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran. Kita membincangkan bilakah dan bagaimanakah Al-Quran diturunkan dan apakah pengajarannya.

Sebagai ulang kaji, Al-Quran telah diturunkan sebanyak dua keadaan; turun sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Ma’mur dan dari Baitul Ma’mur kepada Nabi Muhammad secara berperingkat selama 23 tahun.

Penurunan sekaligus ini berlaku pada bulan Ramadan dan ia dijelaskan dalam beberapa ayat Al-Quran antaranya:

1. Surah Al-Qadr, ayat 1: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada Malam Al-Qadr.” Lailatul Qadr adalah satu malam yang terdapat pada bulan Ramadan.

2. Surah Al-Baqarah, ayat 185: “Bulan Ramadan itu diturunkan padanya Al-Quran sebagai hidayah kepada manusia.”

3. Surah Ad-Dukhan, ayat 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang penuh keberkatan (Lailatul Qadr).”

Seterusnya, Al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW oleh Jibril AS selama 23 tahun, sejak awal kenabian sehingga Nabi wafat pada umur 63 tahun.

Antara hikmah penurunan secara berperingkat dijelaskan dalam Surah Al-Furqan, ayat 32:

Dan telah berkata orang kafir, alangkah baiknya jika Al-Quran diturunkan secara sekaligus. (Allah menjawab) yang demikian itu untuk menguatkan dengan itu hati kamu (Nabi Muhammad).”

Ertinya, penurunan Al-Quran secara berperingkat ini adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda SAW. Ia juga sebagai menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan inilah yang disebut sebagai Asbab Nuzul.

Ia juga memudahkan para sahabat Nabi menghafal ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan dan memberikan peluang kepada mereka melaksanakan sesuatu tuntutan berdasarkan ayat yang turun.

Perbincangan lanjut mengenai perkara ini boleh didapati dalam perbahasan subjek Ulum Al-Quran.

Apa yang lebih utama untuk diberi perhatian ialah agenda Al-Quran atau matlamat utama Al-Quran diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Menghapuskan kesyirikan, mengangkat kebenaran

Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah (kesyirikan), dan jadilah semua deen (kehidupan) hanya untuk Allah.” Surah Al-Baqarah, ayat 193.

Berperang adalah salah satu usaha untuk menegakkan Islam dan peperangan dilakukan dalam keadaan bersenjata dan tidak bersenjata. Jihad diungkapkan dalam keadaan peperangan berhadapan musuh seperti yang berlaku di Gaza dan berperang menghadapi musuh dari jauh seperti kita di Malaysia, memerangi Israel dengan berjihad dengan memboikot produk mereka, berjihad di media dan sebagainya.

Paling penting sekali ialah objektif daripada segala usaha ini ialah memastikan kesyirikan dapat dikalahkan dan digantikan dengan sistem Islam yang syumul dalam segenap aspek kehidupan.

Inilah yang dikatakan agenda dan matlamat Al-Quran diturunkan.

Kita bertanya pada diri, sejauh manakah kita berusaha menghapuskan kesyirikan atau sifat-sifat jahiliyah dalam diri kita? Persoalan ini perlu diberi perhatian serius sebelum kita berbicara dalam ruang lingkup lebih luas seperti keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya.

Agenda inilah yang sepatutnya menjadi sebati dalam darah daging kita dan kita perlu berjuang bermati-matian untuk mengangkat agenda ini.

Realiti hari ini yang mencabar

Dalam perniagaan, untuk mencapai matlamat dan sasaran, seseorang peniaga terpaksa menghadapi pelbagai cabaran sama ada dalaman mahupun luaran. Disebabkan matlamat yang jelas dan kesungguhan untuk menggapai impian, semua cabaran itu dihadapi dengan penuh kesabaran. Ilmu menjadi senjata ampuh dalam menebas semua halangan. Akhir sekali, matlamat yang dirasakan mustahil dicapai bagi orang lain, berjaya dilaksanakan.

Begitulah realiti perjuangan hari ini. Terlalu banyak ujian dan cabaran di medan. Inilah sunnah jalan perjuangan yang dilalui oleh nabi-nabi terdahulu dan para sahabat nabi. Kita hari ini hanya mengikut petunjuk yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu.

Masalah perpecahan umat Islam bermula dengan tiadanya kesatuan agenda. Masing-masing merujuk Al-Quran yang sama, tetapi tiada satu agenda yang menjadi keutamaan bersama. Ahli politik Melayu Islam masih bercanggah dalam isu-isu kepentingan umat Islam seperti cadangan Akta 355 dan agenda kristianisasi DAP yang dibongkar oleh pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof.

Ancaman dari luar yang kini menyusup masuk ke negara kita terang-terangan adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan baik. Budaya hiburan melampau, cara hidup Barat, ideologi liberalisme, seruan hak asasi manusia dan lain-lain adalah kesyirikan yang perlu dihapuskan satu persatu.

Peranan kita

Umat Islam hari ini perlu mendapat lebih banyak penjelasan mengenai tanggungjawab mereka terhadap tuntutan Al-Quran. Memahami dan mengamalkan Islam dalam diri adalah langkah pertama. Seterusnya ia perlu disebarluaskan di peringkat keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Bersedialah kerana ajal itu datang pada bila-bila masa. Di Akhirat nanti, Allah akan mempersoalkan setiap detik masa, harta dan tenaga kita, bagaimanakah kita menyumbang untuk memenangkan agenda Al-Quran.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net

The post Nuzul Al-Quran: Tegakkan agenda Al-Quran dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian