Anak Melayu hasilkan jam tangan mewah setanding negara luar

masa6

Oleh Siti Shafiah Ariffin

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1438H, Selasa – Di sebalik jadual yang padat sebagai pegawai perubatan di sebuah institusi pengajian tinggi, Dr Ahmad Syahid Mohd Fadzil, 35, mampu merekacipta pelbagai jam tangan mewah untuk pelanggannya.

Beliau yang mengasaskan MASA Horlogerie atau Horologi Warisan pada 2015 telah merekacipta pelbagai jenis jam tangan mewah, dengan kebanyakannya memaparkan motif unik tradisional negara ini.

Dr Ahmad Syahid yang mula mengenali jam tangan sejak berusia lima tahun dan meminati jam mekanikal ketika berumur 14 tahun, kini merekacipta jam tangan mewah sebagai satu hobi yang turut mendatangkan keuntungan kepadanya.

“Saya mula merekacipta jam saya sendiri sejak berumur 16-17 tahun, dan terlibat secara serius dalam merekacipta (jam) pada 2012. Saya mula menghasilkan jam MASA pada 2014 dan edisi pertama dihasilkan dari workshop kami di Swiss pada November 2015.

“Semua komponen jam berkenaan adalah hasil buatan tangan dari Switzerland bagi mematuhi pensijilan Swiss Made. Kami dapatkan bahan-bahannya dari banyak kawasan di Switzerland bagi menjamin kualitinya,” katanya, baru-baru ini.

Dr Ahmad Syahid berkata beliau memperuntukkan masa terluangnya setiap hari untuk hobinya, termasuk mengurus keperluan reka bentuk, teknikal dan perkara lain.

“Memandangkan perbezaan masa yang strategik antara Malaysia dan Switzerland, saya dapat berurusan dengan workshop dan rakan-rakan perniagaan di Switzerland di luar waktu pejabat.

“Bagi saya pengurusan masa yang strategik adalah penting dalam menjalani kehidupan ‘multitasking’, apatah lagi dalam bidang perubatan yang memerlukan komitmen tinggi. Walau bagaimana sibuk sekalipun, keluarga dan anak perlu sentiasa diutamakan,” katanya.

Beliau berkata minatnya untuk mendalami bidang pembuatan jam tangan tidak direstui keluarganya, dan menyebabkan beliau menyambung pengajian dalam bidang perubatan yang padanya mempunyai kaitan dengan pembuatan jam.masa2

“The closest yang saya dapat adalah medicine, sebab dua benda ini adalah gabungan beberapa sistem yang berbeza tapi dia synchronize dan dia ada function tertentu. Daripada situ, selepas medical saya tetap jadi appraiser untuk jam, kalau orang nak beli jam orang tanya saya. Boleh kata saya dari jam ke doktor ke jam semula,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Dr Ahmad Syahid berkata kemenangannya dalam anugerah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) Entrepreneurial Challange yang dianjurkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada 2014 telah menjadi batu loncatan kepadanya untuk memulakan perniagaan pada 31 Ogos tahun lepas.

Ia adalah pembelajaran sendiri melalui pengalaman dan buku-buku mengenai jam, memandangkan tiada cabang teratur untuk belajar bidang ini di Malaysia dan beliau pula ada jam lain untuk menjalankan latihan.

“Membuat jam agak mudah tetapi untuk mereka satu jam yang unik memerlukan inspirasi dan tumpuan. Oleh sebab itu, saya memilih warisan Malaysia sebagai keunikan MASA,” katanya.

Dr Ahmad Syahid berkata, terdapat lima model yang telah dihasilkan iaitu Premier Edition Statesmen7 untuk lelaki, Chronoqueen bagi wanita, edisi khas Artitus dan dua edisi istimewa sempena Hari Kebangsaan serta satu model baharu yang akan diperkenalkan pada November ini, iaitu Kerabat Series.

“Daripada semua model yang kita hasilkan, sekarang hanya tinggal satu saja model, lain semua dah habis dijual. Premier edition kita ada 200, Artitus (empatat unit dan Merdeka kita ada 36 unit,” katanya.

“Jam kami berharga antara RM1,000 dan RM30,000 bergantung kepada ciri-ciri teknikal, kerumitan, bahan, kumpulan dan edisi. Kos bagi menghasilkan jam pula adalah berbeza-beza,” katanya.

Dr Ahmad Syahid berkata MASA Horlogerie turut menampilkan elemen poster zaman merdeka yang dijadikan ‘typography’ dalam permukaan jam dan penggunaan nama sempena Hari Kebangsaan iaitu Statesmen57 yang dijual pada harga RM1,957 untuk mekanikal dan RM3,108 untuk automatik.

masa3

Beliau berkata penghasilan jam yang berkualiti pada harga berpatutan menjadi antara sebab utama jam tangan hasil keluaran syarikatnya mendapat permintaan yang tinggi walaupun baru bertapak dalam industri ini.

Beliau juga menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan lebih elemen Malaysia dalam penghasilan jam tangan dan beliau akan mengukir sendiri jam tangan itu sebelum dihantar ke Switzerland untuk dihasilkan.

Kualiti jam tangan MASA Horlogerie setanding dengan beberapa nama besar dalam industri jam tangan Switzerland, memandangkan ianya menggunakan komponen-komponen buatan Swiss sepenuhnya dan memenuhi piawaian Swiss Made yang ketat, katanya yang turut menyertai pameran jam “A Journey Through Time” di Starhill Gallery baru-baru ini.

“Rekabentuk dan ciri-ciri teknikal semua in-house di galeri kami tapi penghasilan semua dilakukan sepernuhnya di Switzerland. Kita memang ikut accreditation dari sana.

“Setiap jam tangan yang dihasilkan mempunyai elemen, kelainan dan penceritaan masing-masing seperti koleksi ‘Songket Bunga Pecah Lapan’ kerana ia sebagai simbol kepada ‘a beginning of birth’, ‘purity’, ‘balance in natural state’ dan ‘harmony of nature’.

Dr Ahmad Syahid berkata koleksi terbaharu iaitu Kerabat Series akan turut menampilkan model istimewa yang diinspirasikan dari sejarah keris Taming Sari sebagai penghargaan kepada kekayaan warisan rakyat Malaysia dan menaikkan nama dan warisan negara melalui industri horologi di mata dunia.

“Koleksi itu nanti jarum jam itu sendiri akan berbentuk keris melambangkan keris Taming Sari,” katanya. – Bernama

The post Anak Melayu hasilkan jam tangan mewah setanding negara luar appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian