Kempen anti-Hari Valentine dan reaksi jahiliyun moden


SEKALUNG
pujian dan penghargaan kepada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang berjaya menganjurkan kempen atas talian memerangi sambutan Hari Valentine baru-baru ini.

Kempen ini saya boleh sifatkan sebagai berjaya kerana telah menyampaikan mesej dengan berkesan kepada golongan sasar iaitu anak muda yang amat dekat dengan media sosial.

Cuba lihat di laman Facebook Pembina, ada banyak artikel, gambar, poster dan status menarik yang menjelaskan A to Z berkenaan kempen ini.

Slogan-slogannya juga mudah difahami.

“Saya tidak menyambut Hari Valentine.”

“Valentine mengancam aqidah mengundang zina.”

“Aku mahu cinta suci, katakan tidak pada Hari Valentine.”

Selain itu, kempen ini juga berjaya menarik perhatian ramai anak muda di luar sana untuk bergambar dengan poster ‘Saya tidak menyambut Hari Valentine’ dan berkongsi gambar itu di media sosial.

Ini menunjukkan penganjur kempen ini tidak syok sendiri, sebaliknya ia memang disokong oleh ramai pihak.

Kita sedia maklum, tarikh 14 Februari setiap tahun dianggap sebagai hari untuk pasangan kekasih dan tiada kaitan dengan mana-mana upacara keagamaan.

Terdapat sebilangan kecil anak-anak muda beragama Islam yang terpengaruh dengan sambutan ini dengan menyambutnya dengan pasangan masing-masing dengan cara tersendiri.

Ada yang memberikan ucapan, membuat temujanji istimewa, bercuti dan sebagainya. Sedangkan, mereka masih belum menjadi pasangan suami isteri yang sah.

Inilah yang ingin dibanteras oleh Pembina melalui kempen ini.

Akan tetapi, terdapat segelintir pihak yang tidak senang dengan kempen mulia ini yang saya labelkan sebagai jahiliyun moden.

Pelbagai hujah diberikan. Antaranya:

1. Kempen ini mengguris hati orang bukan Islam.

Pengendali laman Facebook Pembina menjawab kekeliruan ini dengan tenang dengan berkata:

“Sambutan Valentine adalah sambutan budaya bukan agama. Sambutan Ramadan tak boleh disamakan dengan sambutan Valentine. Ada tak orang Buddha sambut Ramadan? Kami kisah sebab ada orang Islam yang sambut Hari Valentine.”

2. Kempen ini merendahkan kaum wanita dengan larangan melunakkan suara, larangan menggunakan emoticon dan lain-lain.

Saya bantu jawab:

Islam menyuruh kaum wanita menjaga kesucian diri dan menutup segala pintu fitnah. Mengapa perlu melunakkan suara dan menghantar mesej beserta emoticon yang boleh menimbulkan fitnah?

3. Kalau tak nak sambut, tak perlu larang orang lain sambut.

Ada komen di Facebook menjawab:

“Dah kau tak hisap rokok. Kenapa nak larang orang hisap rokok? Bukan begitu logiknya. Kita lihat Hari Valentine banyak menjerat anak muda ke lembah maksiat seperti zina. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati?”

4. Zina berlaku setiap masa. Bukan ketika Hari Valentine sahaja.

Hmm, tak perlulah kita menjawab hujah dangkal ini. Buang masa saja.

Ada banyak lagi komen yang menghentam kempen ini dan semuanya saya simpulkan sebagai bertunjangkan akal manusia yang cetek dan berkiblatkan hawa nafsu semata-mata.

Saya sendiri tidak faham apakah kerugian yang kita hadapi jika tidak menyambut hari kekasih ini. Tiada.

Mengapa perlu dipertahankan bersungguh-sungguh satu sambutan yang bukan berasal daripada budaya kita?

Ingat, pembentukan masyarakat Islam bermula dengan asas akidah, ibadah dan akhlak Islam di kalangan anggotanya.

Kita mengaku beragama Islam, masyarakat kita adalah masyarakat Islam dan negara kita negara Islam.

Akan tetapi, adakah masyarakat kita benar-benar mengamalkan cara hidup Islam?

Mengapakah masih ada lagi yang menyambut Hari Valentine?

Inilah perjuangan kita bersama.

Bersama memartabatkan cara hidup Islam dalam masyarakat.

Sambutan yang membuang masa, menggalakkan maksiat dan perlu dilenyapkan dari bumi Malaysia.

Oh ya, sudah tentu saranan ini akan ditentang oleh golongan jahiliyun moden.

Ia sudah pasti. Sunnah perjuangan para nabi.

Sedangkan dakwah nabi pun ditentang kaumnya, inikan pula kita…

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb

The post Kempen anti-Hari Valentine dan reaksi jahiliyun moden appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian