Isu lambakan pekerja Bangladesh: Rakyat Malaysia tak sanggup kerja buruh kasar

Sekadar gambar hiasan

Sekadar gambar hiasan

KUALA LUMPUR, Sabtu – Kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing untuk melakukan kerja-kerja buruh kasar akan menyebabkan negara kehilangan kemahiran tertentu, kata Anggota Parlimen Belia Malaysia (PBM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Suhail Mohamed Kamarudin.

Beliau berkata sikap malas rakyat Malaysia dan tidak sanggup melakukan kerja-kerja buruh kasar menjadi faktor penyumbang kepada kebergantungan pekerja asing.

“Tiada rakyat tempatan yang sanggup berpanas, berhujan dan memanjat bangunan-bangunan tinggi serta rela dibayar gaji rendah. Misalnya untuk membina dan mengecat rumah… rakyat tempatan kebiasaannya akan mengupah pekerja asing bagi melakukan kerja-kerja berat. Realitinya, kemahiran yang dimiliki pekerja asing itu akan membawa keuntungan kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

Suhail berkata masyarakat juga perlu mengetepikan sikap suka memandang rendah terhadap pekerjaan buruh kasar dan membuang perasaan malu melakukan pekerjaan itu.

“Mengapa tidak kita (rakyat tempatan) bersusah payah dahulu timba pengalaman dan kemahiran walaupun hanya bekerja sebagai buruh kasar. Sedikit sebanyak melalui pengalaman yang diperoleh, ada rakyat tempatan yang mampu menjadi golongan berkemahiran dalam bidang pembinaan yang amat diperlukan negara,” katanya.

Polemik mengenai pekerja asing timbul berikutan laporan berita pada 9 Feb yang memetik Setiausaha Kabinet Bangladesh, Mohammad Shafiul Alam bahawa kerajaan Bangladesh telah meluluskan draf perjanjian persefahaman Kerajaan Kepada Kerajaan Plus berhubung penghantaran 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan menegaskan tiada satu angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.

Menurut KDN, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian