Adab Berbeza Pendapat

adab berbeza pendapat
Khilaf atau perselisihan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia yang bermasyarakat. Allah menjadikan manusia berbeza dari sudut pemikiran dan karektor sebagaimana Allah menjadikan manusia berbeza dari sudut fizikal. Bukanlah suatu yang mengaibkan apabila manusia berselisih faham. Tetapi yang mengaibkan adalah apabila perselisihan itu membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Di zaman Rasulullah SAW dan sahabat RA, pernah berlaku perselisihan pandangan antara para sahabat RA. Mereka berbincang dan bersepakat dengan satu pandangan. Ini seperti yang berlaku berkenaan lokasi peperangan Uhud. Perselisihan pandangan itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk tentera Islam bertahan di Uhud dan bukan di dalam kota Madinah.

Di zaman Saidina Abu Bakar RA berlaku perselisihan berkenaan isu pengumpulan al-Quran; samada perlu dikumpulkan dalam satu mushaf atau tidak. Akhirnya semua orang Islam sepakat dan bersetuju dengan pandangan Saidina Abu Bakar RA.

Ada juga perselisihan di zaman itu yang terus dibiarkan tanpa kata sepakat seperti yang berlaku dalam menentukan waktu solat Asar dalam peperangan Bani Quraizah. Juga seperti banyak isu berkaitan hukum fiqh di kalangan sahabat RA.

Ini boleh dilihat dalam banyak isu seperti perselisihan sahabat RA di dalam isu faraidh, haidh, bahkan juga di dalam isu yang lebih besar seperti perselisihan berkenaan hukuman ke atas pembunuhan Saidina Osman RA, keharusan pelantikan khalifah Islam daripada darah daging khalifah sebelumnya dan sebagainya.

Jika diurus dengan baik, perselisihan pandangan akan memberi ruang kelegaan kepada umat manusia. Imam Malik pernah berkata kepada Amirul Mukminin Harun ar-Rasyid ketika pandangan-pandangannya hendak diwajibkan ke atas rakyat:

Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perselisihan ulamak adalah rahmat Allah ke atas umat ini. Semua orang berpandukan dalil yang sahih pada pandangannya. Semua orang berada di atas hidayah dan semua mereka mencari keredaan Allah.”

Perselisihan pandangan perlu diurus dengan penuh adab. Di antara adab mengurus perselisihan ini adalah seperti berikut:

1. Perselisihan itu hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pandangan yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, hendaklah ditolak. Tidak ada pandangan yang boleh berselisih dengan pandangan al-Quran dan al-Sunnah.

Allah berfirman yang maksudnya: “Jika kamu berselisih pada sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat …” (Al-Nisa: 59). Al-Quran dan al-Sunnah pula hendaklah dirujuk mengikut kaedah yang betul sebagaimana manhaj Rasulullah SAW dan para sahabat. Bukan menggunakan akal semata-mata atau mengikut manhaj penafsiran luar daripada amalan Rasulullah SAW.

Di antara punca perselisihan yang membawa kepada permusuhan adalah apabila pihak yang berselisih tidak mahu tunduk menyerahkan kebenaran itu kepada wahyu. Apabila akal dan emosi menguasai diri, pandangan peribadi akan dipertahankan sehingga menimbulkan ketegangan. Dua pandangan yang bertentangan akan dapat diharmonikan jika kedua-duanya boleh tunduk kepada apa yang dikehendaki oleh wahyu.

2. Ketika berselisih pendapat, hendaklah sentiasa dibezakan di antara perkara yang telah menjadi persepakatan di antara ulamak dan perkara yang tidak disepakati. Perkara yang tidak disepakati hukumnya di kalangan ulamak hendaklah tidak dipaksakan ke atas mana-mana pihak. Paksaan pandangan hanya boleh dilakukan terhadap perkara yang sudah disepakati di kalangan ulamak sahaja.

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis Muslim beliau berkata: “Ulamak berpandangan bahawa tidak boleh bagi seorang mufti atau qadhi untuk menentang orang yang berselisih dengannya selagimana orang itu tidak menyanggahi nas atau ijmak atau qiyas yang jelas.”

Perkara khilaf hendaklah kekal sebagai khilaf selagimana pandangan tersebut berdiri di atas kaedah penafsiran hukum Islam yang betul. Ketegangan dan permusuhan sesama Islam pada hari ini sebahagiannya berlegar pada furu’-furu’ fekah yang tidak sepatutnya menjadi punca pertelagahan.

Jika di dalam permasalahan khilaf ulamak Islam silam mengambil sikap yang sama seperti umat akhir zaman ini, nescaya robohlah kekuasaan Islam lebih awal dari tarikhnya sekarang. Tetapi walaupun dengan khilaf furu’ yang banyak, umat Islam dahulu masih mampu bersama, kuat memperkuat dan bersatu mempertahankan dan membangunkan negara.

3ِ. Apabila berlaku perbincangan terhadap perkara yang diperselisihkan, perbincangan tersebut hendaklah berlaku dengan tujuan mencari kebenaran. Masing-masing hendaklah dari awal perbincangan bersedia dari segi mental dan emosinya untuk tunduk kepada kebenaran.

Imam Syafie berkata: “Aku tidak bermuzakarah dengan seseorang kecuali aku akan berdoa: Ya Allah, alirkanlah kebenaran pada hati dan lisannya. Jika kebenaran itu padaku, dia sanggup mengikutku. Jika kebenaran itu padanya, aku mengikutnya.”

Permusuhan akan timbul jika perbincangan dibuat dengan tujuan untuk melihat siapa kalah dan siapa yang menang. Niat untuk mengalahkan pihak lawan akan membawa kedua-dua pihak ke arah mereka-reka hujah, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat, penghujahan dipenuhi emosi dan lain-lain tindakan yang negatif. Tetapi sebaliknya jika tujuan perbincangan adalah untuk mencari kebenaran, perbincangan akan berlaku secara ilmiah, bahasa yang digunakan juga akan sopan dan tidak ada pihak yang akan terguris hati.

4. Ketika Majlis Fatwa Negeri sudah mengambil keputusan tertentu terhadap apa-apa perkara khilaf dan mewartakannya, maka khilaf pada masa itu tidak lagi sepatutnya timbul. Perkara khilaf yang sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri dan diwartakan adalah mengikat semua penduduk di negeri tersebut.

Imam Hasan al-Banna berkata: “Pendapat pemimpin dan timbalannya di dalam perkara yang tidak ada nas, dan di dalam perkara yang mempunyai tafsiran yang pelbagai, dan di dalam masoleh mursalah hendaklah dipegang selagi tidak bertentangan dengan kaedah syarak.”

Adalah menjadi suatu amalan yang tidak harmoni di dalam masyarakat apabila sesuatu yang sudah diwartakan masih diperdebatkan hukumnya. Ia akan membawa kepada perlanggaran peraturan yang digubal untuk kepentingan orang ramai. Juga membawa kepada ketidakhormatan badan dan institusi tertinggi umat Islam di dalam satu-satu negeri.

Banyak lagi adab-adab di dalam menangani isu khilaf yang perlu dipraktikkan. Menjadi kewajiban ke atas semua untuk terus menjaga kesatuan umat Islam. Cita-cita yang besar untuk menjadi umat bersatu yang kuat akan melupakan sebarang khilaf kecil yang wujud. Kebijaksanaan menguruskan khilaf akan memberi ruang pernafasan yang selesa kepada setiap individu di dalam masyarakat.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden Isma

Tulisan-tulisan beliau yang lain boleh dibaca di blog http://ift.tt/1tbSlBf.

The post Adab Berbeza Pendapat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian