Hotel, restoran akan diwajibkan pamer harga terangkum cukai: Hamzah

PUTRAJAYA, 3 Zulkaedah 1438H, Khamis –  Kerajaan akan mewajibkan iklan perkhidmatan restoran dan hotel mempamerkan harga terangkum cukai agar pengguna tidak tertipu serta mendapatkan keadilan semasa membuat pembayaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu perlu kerana ada peniaga mengenakan caj tersembunyi kepada pengguna.

“Kalau pengguna tengok iklan barang berharga RM100, mereka akan bayar RM100. Semua caj termasuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) serta caj perkhidmatan sudah termasuk dan tidak ada lagi caj tersembunyi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu akan dilakukan menerusi pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 2011 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dua hari lalu dan dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua serta dibahaskan selewat-lewatnya Selasa ini.

Katanya antara pindaan yang dibuat ialah mengenakan denda RM100,000 kepada peniaga yang melanggar peraturan itu.

“Mereka (peniaga) dibenarkan untuk mempamerkan pecahan harga pada resit mengikut Akta Kastam,” katanya.

Hamzah berharap akta itu diluluskan pada persidangan parlimen yang sedang berlangsung agar  dapat dikuatkuasakan menjelang akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan mengumumkan tarikh pewartaan Akta Jualan Kredit yang diluluskan pada sesi parlimen lalu beberapa bulan lagi. – Bernama

The post Hotel, restoran akan diwajibkan pamer harga terangkum cukai: Hamzah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian