Motosikal masih penyumbang utama kemalangan jalan raya


KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Isu kemalangan dan kecelakaan jalan raya bukanlah perkara baru malah seringkali menjadi topik utama di dada akhbar. 

Merujuk sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan jalan raya pada tahun lepas meningkat kepada 521, 466 berbanding 489, 606 pada 2015. 

Selain kemalangan maut mencatat peningkatan kepada 6, 570 berbanding 6,193 pada tahun sebelumnya, jumlah kematian turut meningkat menjadi 7, 152 berbanding 6, 706 pada 2015. 

KESEDARAN BERSAMA

Setiausaha Agung New Car Assessment Programme for Southeast Asia (Asean NCAP) merangkap Ketua Unit Pengoperasian ASEAN NCAP, Pejabat Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata sungguhpun motosikal menjadi ‘penyumbang’ utama kematian di jalan raya, semua pihak perlu mempunyai kesedaran bersama. 

Beberapa aspek perlu diberi penekanan agar semua pihak ‘buka mata’ akan kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya termasuklah keselamatan kenderaan itu sendiri. 

“Kita sedia maklum ciri-ciri fizikal motosikal itu sendiri hakikatnya tidak boleh jadi selamat mana dah (terbatas) berbanding kenderaan lain… jadi penunggang motosikal perlu sedar akan perkara ini kerana kadang-kadang mereka rasa mereka ni memandu kereta. 

“Pengguna kenderaan lain juga pada masa sama perlu sentiasa ingat bahawa mereka berkongsi jalan raya dengan penunggang motosikal dan perlu sentiasa ‘alert’ dengan sistem teknologi yang ada pada kenderaan sebagai contoh ‘blind spot monitoring’,” katanya kepada Bernama baru-baru ini pada Persidangan Antarabangsa Jawatankuasa Dasar Pengguna ISO (ISO COPOLCO) kali ke-39.

Persidangan berkenaan yang bertemakan Keselamatan Jalan Raya dan Kenderaan adalah anjuran Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Malaysian Associations of Standards Users. 

UNDANG-UNDANG KHAS

Ditanya mengenai keperluan undang-undang tertentu diwujudkan terhadap pengguna motosikal bagi mengurangkan kadar kemalangan, Khairil Anwar berkata ia memerlukan kajian teliti dan rasional kerana melibatkan banyak pihak. 

“Motosikal hari ini bukan sahaja digunakan golongan kurang berkemampuan bahkan semua. Contohnya di bandar, motosikal menjadi antara kenderaan penting bagi kebanyakan orang untuk memudahkan urusan ke kedai, ke surau dan ke tempat kerja bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Pastinya jika kita mahu mewujudkan undang-undang tertentu bagi penggunaan motosikal ia akan dilihat sebagai ‘double standard’ dan mendapat tentangan pelbagai pihak,” jelas beliau mengambil contoh sebelum ini mengenai cadangan melarang kemasukan motosikal berkuasa kecil atau ‘kapcai’ daripada memasuki ibu kota bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon dan jenayah ragut. 

Berpendapat laluan khas untuk pengguna motosikal sememangnya membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan, namun bagi membangunkan lebih banyak infrastruktur ia memerlukan kos yang tinggi. 

Untuk itu beliau berkata setiap pihak perlu memahami tanggungjawab masing-masing sebagai pengguna jalan raya lebih-lebih lagi penunggang motosikal yang perlu mengikuti saranan seperti berpakaian terang, memastikan lampu dan break berfungsi sebaiknya. 

“Penunggang motosikal juga perlu sedar bahawa mereka berkongsi jalan dengan pelbagai kenderaan lain. Faktor kestabilan dan keselamatan fizikal mereka sentiasa dalam keadaan berisiko tinggi  kerana perbezaan kenderaan dua tayar dan empat tayar.

“Ditambah pula situasi di Malaysia percampuran antara pengguna motosikal dengan kenderaan lain adalah 50-50. Di negara lain seperti Vietnam, percampuran adalah pada kadar  90-10 yang mana motosikal adalah dominan jadi sukar bagi kenderaan lain melanggar atau menyebabkan kemalangan kepada motosikal,” jelasnya.

NCAP

Sementara itu ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘Road Safety by Design: Asean NCAP Experience’ pada persidangan itu Khairil Anwar antara lain menjelaskan NCAP bertujuan menyediakan maklumat keselamatan kenderaan kepada orang ramai melalui objektif, ketelusan dan ‘ujian perlanggaran berskala penuh bebas’. 

Melalui cara itu, pengguna boleh membuat pilihan bijak dan mengenalpasti usaha tambahan yang dilakukan pihak pengeluar untuk menghasilkan kenderaan yang lebih selamat.

GALAKAN MEMATUHI PIAWAIAN

Turut berkongsi lima teras pendekatan sistem selamat berdasarkan ‘The Global Plan for the UN Decade of Action’ beliau berkata ia merangkumi kapasiti pembinaan, jalan raya yang selamat dan mobiliti, kenderaan yang selamat, sikap bertimbang rasa pengguna dan tindakan selepas kemalangan. 

Biarpun keselamatan adalah isu utama dalam pembuatan kereta bagi negara Asean, namun isu kenderaan tidak selamat masih menjadi halangan kerana ‘survivality’ (kebergantungan kepada penggunaan kenderaan) masih menjadi keutamaan berbanding isu kenderaan tidak sesuai dan tidak menepati piawaian keselamatan.

Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggalakkan negara anggota memohon dan mempromosikan piawaian keselamatan kenderaan bermotor seperti yang ditetapkan Forum Dunia PBB bagi menyeragamkan peraturan kenderaan selain menggalakkan pelaksanaan program penilaian bagi kenderaan baharu bagi meningkatkan ketersediaan maklumat pengguna mengenai prestasi keselamatan kenderaan bermotor.

“PBB menggalakkan semua kenderaan baru dilengkapi  dengan tali pinggang keselamatan yang memenuhi peraturan dan melepasi ujian standard perlanggaran (ciri-ciri minimum keselamatan)

“Ia juga menggalakkan teknologi bagi mengelak perlanggaran sejagat dengan bukti keberkesanannya seperti Kawalan Stabiliti Elektronik dan sistem anti-kunci Brek bagi motosikal.

Khairil Anwar berkata PBB juga mencadangkan agar insentif diiberi kepada pekilang yang menghasilkan kenderaan yang mempunyai paras perlindungan yang tinggi kepada pengguna jalan raya.

“Ia juga mahu (kerajaan) agar terus melabur dalam kajian dan pembangunan teknologi melibatkan keselamatan yang boleh memperbaiki keselamatan kenderaan dan mengurangkan risiko daripada pengguna jalan raya yang tidak bertolak ansur.

“Sektor kerajaan dan swasta juga digalakkan membeli dan mengekalkan kenderaan yang menawarkan teknologi keselamatan yang maju dan mempunyai tahap perlindungan yang tinggi kepada pengguna”. – Bernama

ERKB CR

The post Motosikal masih penyumbang utama kemalangan jalan raya appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian