Dakwaan Amnesty International berhubung rekod hak asasi manusia tidak wajar: Menteri Luar

111

PUTRAJAYA, Selasa – Dakwaan Amensty International bahawa rekod hak asasi manusia di Malaysia menunjukkan trend menurun yang semakin membimbangkan adalah tidak wajar kerana ia berdasarkan kepada maklumat terpilih dan tidak terbukti, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata malangnya badan antarabangsa itu terlalu pantas untuk menghakimi rekod hak asasi manusia di Malaysia atas dasar salah faham keadaan peristiwa yang berlaku dalam negara baru-baru ini.

“Ia gagal memberi penghargaan yang sepatutnya kepada usaha-usaha terbaru dan berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia untuk rakyatnya,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

“Ia juga gagal memperakui kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dalam melindungi dan mempertahankan hak kaum wanita, kanak-kanak dan golongan kurang upaya serta memenuhi hak ekonomi sosial dan kebudayaan rakyatnya,” katanya.

Setiausaha Agung Amnesty International, Salil Shetty membuat kenyataan tersebut pada bengkel semasa Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IAAC) ke-16 di sini, Jumaat lepas.

Anifah berkata adalah perlu untuk menunjukkan bahawa kerajaan tetap komited untuk mendukung hak kebebasan bersuara dan hak kebebasan untuk berhimpun sebagaimana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa mengamalkan hak-hak itu tidak mutlak dan mungkin tertakluk kepada batasan atas alasan tertentu termasuk peraturan awam dan keselamatan negara,” katanya.

Anifah berkata apa-apa batasan adalah selaras dengan Artikel 29 (2) Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Beliau berkata penggunaan Akta Hasutan 1948 tidak menghalang kesuburan demokrasi dan kekal sebagai langkah pencegahan bagi memastikan dan melindungi rakyat Malaysia daripada pergerakan radikal, pelampau dan fanatik selain membendung toleransi agama, memupuk kebencian, pelampau kaum dan agama.

Mengenai isu pelarian atau pencari suaka, Anifah berkata walaupun Malaysia tidak mengiktiraf status mereka namun negara sentiasa memberi bantuan atas dasar berperikemanusiaan dan terus memberi kerjasama mengikut kes dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan organisasi antarabangsa yang relevan.

Tambahan pula, katanya Malaysia mengambil tindakan serius dalam membanteras masalah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dan tetap komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi relevan dalam menangani masalah itu menerusi pelbagai mekanisme antarabangsa dan serantau.

Beliau menegaskan setiap negara yang berdaulat berhak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk masyarakatnya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian