Musibah banjir – Peringatan Allah untuk hamba-Nya


Musibah banjir besar yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran dan renungan untuk semua orang yang beriman.

Banjir besar di luar dugaan adalah satu peringatan Allah kepada semua hamba-Nya supaya menginsafi bahawa Allah berkuasa mendatangkan sesuatu azab atau nikmat tanpa diduga, disangka atau diminta. Allah yang bersifat “fa’aalul lima yurid” (melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki) boleh mendatangkan bencana apa sahaja termasuk banjir, tsunami, gempa bumi dan salji tebal.

Bertindak dengan betul ketika ditimpa musibah

Sebagai makhluk yang dicipta kita tertakluk kepada kekuatan yang diberikan Allah. Kekuatan yang diberikan Allah kepada kita adalah sedikit. Kita tidak mampu mengatasi kekuasaan dan kehendak Allah. Kita harus sedar, sumber kekuatan sebenar kita ialah Allah, yakni dengan memohon pertolongan Allah yang bersifat “al Qadiir” (Maha Kuasa).

Dalam berdoa pula kita diberi tunjuk ajar oleh Rasulullah SAW berkenaan kaedah dan caranya. Apa yang berlaku baru-baru ini menyedarkan kita bahawa masih ramai umat Islam yang tidak memahami kaedah berdoa, walaupun mereka tahu apa maksud dan kehebatan doa.

Perhatikan doa ini yang sering dibaca, hatta sering dipaparkan di kaca televisyen sewaktu musibah banjir melanda negara kita:

“Wahai bumi telanlah airmu, dan Wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”.

Mereka yang bersimpati dan ingin membantu, membaca doa ini begitu sahaja dengan penuh perasaan, tanpa memohon daripada Tuhan pencipta langit dan bumi. Maknanya, kepada siapa mereka bermohon, kepada langit dan bumi?Doa sebegini bersalahan dengan ajaran Islam dari beberapa sudut.

Pertama, bermohon kepada makhluk iaitu langit dan bumi, bukan bermohon kepada Allah.

Kedua, bersalahan dengan sabda Nabi iaitu “… apabila kamu bermohon, mohonlah dengan Allah, apabila kamu perlu pertolongan mintalah dengan Alla …”.

Ketiga, siapalah kita untuk mengarahkan langit dan bumi. Apakah kita empunya kepada langit dan bumi? Apakah kita Tuhan untuk memerintahkan langit dan bumi? Sepatutnya kita berdoa kepada Allah supaya mengarahkan langit dan bumi yang berada di bawah kekuasaan-Nya.

Keempat, doa yang dimaksudkan bukan doa sebenarnya. Ia adalah kenyataan atau cerita tentang perintah Allah kepada langit dan bumi. Ayat tersebut terkandung di dalam Surah Hud ayat ke-44, firman Allah;

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءكِ وَيَا سَمَاء أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاء وَقُضِيَ الأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْداً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “ dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan Wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas Gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang Yang zalim”.

Betullah ungkapan yang menyebut, orang yang beramal tanpa ilmu adalah sesat.

Urusan hujan adalah ketentuan Allah

Rasulullah SAW pernah memberi amaran kepada para Sahabat ra bahawa dengan sebab hujan sahaja manusia boleh jadi beriman dan kufur. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda bersabda:

هل تدرون ماذا قال ربكم ؟ قالوا : الله ورسوله أعلم ، قال : أصبح من عبادي مؤمن بي وكافر ، فأمَّا من قال : مُطِرنا بفضل الله ورحمته ، فذلك مؤمن بي وكافر بالكوكب ، وأما من قال : مُطِرنا بنوء كذا وكذا فذلك كافر بي ومؤمن بالكوكب

Maksudnya: “Tahukah kamu apa yang telah difirmankan Tuhan kamu? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah bersabda: Berpagi-pagi ada di kalangan hamba-Ku yang beriman dan kafir. Adapun mereka yang berkata; turunnya hujan adalah dengan kekuasaan Allah dan rahmat-Nya maka dia telah beriman kepada Allah dan kufur terhadap bintang. Adapun mereka yang berkata; turunnya hujan adalah sebab bintang itu dan ini sesungguhnya dia telah kufur kepada-Ku dan beriman kepada bintang-bintang.

Diqiaskan kepada masalah banjir. Lebih aula dan jelas. Barangsiapa beriktikad berlakunya musibah banjir disebabkan oleh pembalakan dan penebangan hutan atau sesuatu sebab dari makhluk semata-mata, maka ia termasuk dalam makna hadis di atas, yakni orang yang kufur kepada kekuasaan Allah.

Masyarakat kita perlu dididik

Realiti yang berlaku di pusat pemindahan mangsa banjir memperlihatkan kepada kita betapa rapuh dan ceteknya iman masyarakat Islam kita. Mereka saudara mara kita mungkin. Sahabat handai kita mungkin. Yang pasti, mereka adalah beragama Islam dan rata-rata berbangsa Melayu, yang ditakrifkan sebagai orang yang melayu kepada Tuhannya.

Apa peristiwa menyentuh hati yang berlaku? Pertama, antara aktiviti sukarelawan membantu mangsa banjir ialah mengadakan solat hajat khas dan munajat. Di pusat pemindahan yang menempatkan lebih 500 orang mangsa hanya 10 orang yang bersama sama menunaikan solat hajat dan berdoa, walaupun program tersebut sudah diwar-warkan lebih awal.

Kedua, di masjid-masjid banyak kereta sehingga tidak cukup ruang parking. Masyarakat Islam kita menjadi insaf dengan musibah banjir. Mereka semua bertumpu ke masjid-masjid di kala kesusahan, memohon pertolongan Allah dan melakukan amal soleh dengan solat berjamaah. Sangkaan itu meleset apabila kita memasuki masjid. Hanya kereta sahaja “park” di masjid, tetapi tuannya tidak. Solat berjamaah hanya satu saf. Itu pun tak penuh. Kalau mengikut jumlah kereta seolah olah jemaahnya menyamai solat Jumaat. Itulah masalahnya. Kereta mahu selamat daripada bencana banjir, tetapi diri sendiri tidak terfikir untuk selamat daripada bencana api neraka.

Marilah kita mendidik bangsa kita memahami dan beramal dengan Islam yang sebenar. Atau amal mentarbiyyah bangsa sendiri pun masih ada yang mengganggapnya sebagai “assabiyyah”?

Muhasabah

Marilah kita merenung dengan ikhlas, apakah dosa kita sehingga Allah memerintahkan langit mencurahkan hujan yang membawa kebinasaan. Allah berfirman, “Terjadinya kerosakan di muka bumi ini akibat apa yang diusahakan oleh tangan-tangan manusia sendiri..”.

Apa yang telah kita lakukan? Tidak beriman? Tidak solat, berpuasa, berzakat atau haji? Syirik? Menolak hukum hudud? Bermusuh sesama muslim dan bersahabat dengan orang kafir? Berpecah belah? Memutuskan silaturrahim? Mengambil orang kafir sebagai wali? Memesongkan ajaran Islam atas nama keadilan hak asasi manusia? Menyembunyikan ajaran Islam dengan sebab kepentingan tertentu atau melunakkan Islam dengan sebab menjaga hati dan perasaan sekutu-sekutu politik atau membiarkan kemungkaran berlaku tanpa pencegahan?

Marilah kita meletakkan iktikad bahawa apa yang berlaku adalah perancangan dan kehendak Allah yang menghendaki kita berfikir sebaik-baiknya.

“Ya Allah, tidaklah Engkau jadikan semua bencana dan malapetaka ini suatu yang sia-sia melainkan ada sesuatu di sebaliknya, Maha Suci Engkau Ya Allah, lindungilah kami dari azab api neraka”.

Ustaz Norman Mohd Nor
Ketua Biro Dakwah
ISMA Cawangan Kuantan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?