Mahkamah Persekutuan tidak ada bidang kuasa ke atas kes persempadanan semula Sarawak

mahkamah_persekutuan
PUTRAJAYA, Selasa – Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa membuat keputusan terhadap kes persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak memandangkan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan tersebut dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk pembentangan di Parlimen, Mahkamah Persekutuan diberitahu, hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh yang mewakil SPR berhujah bahawa perkara tersebut dianggap sebagai akademik sebaik sahaja diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan hanya Parlimen yang diberikan bidang kuasa eksklusif untuk membuat keputusan berhubung persempadanan semula itu.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh mencampuri prosiding dalam Parlimen.

“Laporan pada peringkat ini adalah bidang kuasa eksklusif Perdana Menteri dan Parlimen,” katanya sebagai membantah permohonan seorang Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) Sarawak dan seorang pengundi yang memohon kepada Mahkamah Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Katanya, Parlimen akan membuat keputusan untuk menerima cadangan persempadanan itu dengan atau tanpa sebarang pindaan.

Amarjeet berkata notis yang digazetkan mengesahkan bahawa SPR sudah melaksanakan tugasnya dalam persempadanan semula dan menambah bahawa perkara tersebut tidak lagi dalam kawalan mereka.

Menurut beliau SPR dalam affidavit menentang rayuan yang dikemukakan oleh ADUN Batu Lintang See Chee How dan Pauls Baya, seorang pegundi di Ulu Baram dengan hujah bahawa laporan akhir dalam persempadanan semula untuk Sarawak telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu.

Dalam pelaksanaan persempadanan semula untuk Sarawak, SPR mewujudkan 11 kawasan baharu pilihan raya negeri, pertambahan dari 17 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

See dan Pauls memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos lalu yang mengisytiharkan kesahihan notis SPR berhubung cadangan dan persempadanan semula sempadan pemilih Sarawak.

Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 15 Mei lalu yang mengarahkan SPR menerbitkan semula notisnya selepas memutuskan bahawa notisnya kekurangan maklumat.

Terdahulu peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili pemohon meminta mahkamah memberikan kebenaran merayu bagi membuat keputusan terhadap 15 soalan undang-undang yang panjang dan berkepentingan awam.

Katanya, kebenaran itu perlu diberikan kerana ia melibatkan isu-isu perlembagaan yang memberi kesan kepada pengundi dan langkah persempadanan semula pada masa akan datang yang akan dijalankan di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Das berhujah kawasan baharu DUN bermakna daerah baharu mengundi dan pusat mengundi baharu dan pengundi yang terjejas berkelayakan mengetahui pusat mengundi baharu mereka yang berubah.

Katanya Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa membuat keputusan terhadap perkara tersebut kerana belum dibawa ke Parlimen.

Panel tiga anggota dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan Khamis untuk menyampaikan keputusan mahkamah. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian