Mengejar kegembiraan di fasa akhir Ramadhan

Ukhti Jamaliah 1

Syukur Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk memasuki ke fasa yang paling dinanti-nantikan oleh semua umat Islam iaitu 10 malam terakhir Ramadhan.

Pada ketika ini mungkin ada yang tidak sabar menanti baki beberapa hari saja lagi untuk menamatkan ibadah puasa. Bukan itu saja malah ditambah pula dengan keterujaan menanti ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang hanya disambut setahun sekali.

Oleh kerana itu, lazimnya masyarakat kita pada ketika ini menjadi lebih sibuk berbanding minggu-minggu sebelumnya. Kompleks dan pasar menjadi tarikan utama umat Islam berbanding daripada minggu awal Ramadhan yang biasanya menyaksikan masjid –masjid sangat meriah dipenuhi oleh jemaah.

Persoalannya apakah tujuan utama Allah mengurniakan bulan Ramadhan yang merupakan sebaik-baik bulan dan dalamnya pula diberikan sebaik-baik malam yang lebih baik daripada seribu bulan? Adakah hanya semata-mata kerana Hari Raya Aidilfitri?

Dengan masa yang berbaki lebih kurang 2 minggu saja lagi, marilah kita sama-sama merenung kembali sejauh manakah kualiti ibadah yang kita persembahkan kepada Allah di bulan yang penuh berkah ini. Firman Allah,

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (Lailatul Qadr) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadr) lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar”.

(Al-Qadr: 1-5)

Rebutlah tawaran berharga Lailatul Qadar dengan menggandakan ibadah khususnya di malam hari. Bangunlah dengan harapan meraih redha Allah. Biarpun kita merasa diri tidak layak untuk diberikan kelebihan tersebut namun apa yang lebih penting adalah keikhlasan. Semoga dengan keikhlasan tersebut, akan timbullah rasa kehambaan kita kepada Allah. Rasulullah saw bersabda,

“barangsiapa menegakkan solat pada malam Lailatul Qadr atas dorongan iman dan mengharap balasan (dari Allah), diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.

(H.R Al Bukhari no.1768, An Nasa’i no. 2164, Ahmad no. 8222)

Marilah sama-sama berdoa agar ramadhan kita kali ini menjadi lebih bermakna daripada yang sebelumnya. Semoga Hari Raya Aidilfitri yang saban tahun kita nantikan memberikan erti kegembiraan yang sebenar. Sesungguhnya terdapat dua kegembiraan yang disediakan untuk orang-orang yang berpuasa iaitu kegembiraan di saat berbuka dan kegembiraan bertemu dengan Rabbnya.

Wallahu a’lam

 Jamaliah Binti Lani

Ketua Biro Remaja Isma Samarahan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian