Sembilan warga Australia hina Jalur Gemilang dibebaskan tanpa sabitan
SEPANG, 5 Muharram 1438H, Khamis – Mahkamah Sesyen Sepang hari ini membebaskan tanpa sabitan sembilan warga Australia yang memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di litar Sepang Ahad lalu.
Kesemua mereka yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada hakim untuk melepaskan tanpa sabitan terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 173A (2) (a) Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Hakim Harith Sham Mohamed Yasin, memberi amaran terhadap kesemua tertuduh supaya tidak mengulangi perkara tersebut dan belajar untuk memahami budaya dan sensitiviti ketika berada di sini.
“Sungguhpun, perlakuan sebegini tidak dilarang di banyak negara namun perlakuan ini tidak boleh diterima di Malaysia.
“Tempoh reman selama empat hari yang dikenakan sebelum ini dapat memberikan keinsafan kepada sembilan warga Australia itu,” katanya.
Tertuduh, masing-masing berusia 25 hingga 29 tahun iaitu Branden Stobbs, Edward Leaney, Nicolas Kelly, Thomas Laslett, Thomas Whitworth, James Paver, Adam Pasfield, Timonthy Yates dan Jack Walker yang merupakan staf di pejabat Menteri Industri Pertahanan Australia, Christopher Pyne.
Sebelum ini, Thomas Whitworth ada membacakan surat mohon maaf yang menyatakan permohonan maaf dan kekesalan terhadap rakyat Malaysia kerana perbuatan mereka menyinggung hati ramai pihak yang ketika itu menonton perlumbaan F1.
The post Sembilan warga Australia hina Jalur Gemilang dibebaskan tanpa sabitan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan