Dua pelajar UiTM maut, enam cedera dihempap pokok tumbang di Janda Baik
KUANTAN, 16 Syaaban 1438H, Sabtu – Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor maut sementara enam lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika menjalani aktiviti survival di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong awal pagi tadi
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata mangsa yang maut ialah Noorain Mokhtar, 23, dari Sungai Besar, Selangor dan Muhammad Kamil Md Sukri, 22.
Yang cedera pula dikenali sebagai Muaz, Farahanisa, Aini Sofia, Aida Farida, Mohd Amar Afendi yang kini dirawat di Hospital Bentong, manakala Muhamad Haziq Radzuan, 21, yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
“Seramai 140 pelajar dan empat pensyarah tiba di kawasan air terjun berkenaan pada jam 11.30 malam dan sepatutnya turun jam 5 pagi ini. Bagaimanapun semasa sedang menjalani aktiviti survival itu, sebatang pokok tumbang dan menghempap para pelajar,” katanya.
Mayat Noorain ditemukan pagi tadi sebaik operasi mencari dan menyelamat dilakukan, manakala mayat Muhammad Kamil yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemukan di bawah sebatang pokok balak kebih kurang dua kilometer dari trek berjalan kaki.
Usaha untuk membawa turun mayat kedua-dua mangsa kini sedang giat dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta polis. – Bernama
The post Dua pelajar UiTM maut, enam cedera dihempap pokok tumbang di Janda Baik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan