Lima ciri graduan perlu ada sebelum mohon kerja
SHAH ALAM, 25 Syaaban 1438H, Isnin – Para lepasan siswazah yang ingin memohon pekerjaan perlu mempersiapkan diri sepenuhnya agar peluang lebih cerah untuk memperolehnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Future Forest Sdn Bhd, Safina Yaakob telah menyenaraikan lima ciri sempurna yang perlu ada pada graduan sebelum memohon pekerjaan.
Beliau berkata, ciri pertama yang perlu ada adalah penguasaan pelbagai kemahiran oleh seseorang graduan.
“Maksudnya boleh ke depan dan ke belakang dalam tugasan. Boleh membantu dan boleh disuruh.
“Ciri kedua adalah kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik. Sekarang ini email minta kerja daripada graduan pun kami yang kena betulkan,” katanya menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-47 dengan membawa tajuk “Graduan Menganggur: Sampai bila?” di Pentas Utama, Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, di sini, hari ini.
Manakala, ciri ketiga yang perlu dimiliki pada seorang pemohon adalah kekemasan diri.
“Semua kena tahu apa yang patut dipakai dalam dunia korporat. Tinggalkan dunia kebudak-budakan.
“Ciri keempat, graduan perlu tahu susun atur organisasi dalam sesebuah syarikat. Semuanya tentang etika,” katanya lagi.
Ciri terakhir pula, menurutnya, para graduan perlu tahu maklumat penuh tentang sesebuah syarikat.
“Kadang-kadang ada graduan yang datang minta kerja tapi langsung tidak tahu maklumat mengenai syarikat tersebut,” katanya lagi.
The post Lima ciri graduan perlu ada sebelum mohon kerja appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan