Persefahaman ‘atas kertas’ Malaysia-China dan kelangsungan politik Najib

BANGI, 27 Syaaban 1438H, Rabu – Nyata dan jelas bahawa tindakan China di rantau ini mengakibatkan Beijing berdepan lebih banyak musuh di kalangan negara anggota Asean dalam isu Laut China Selatan.

Tatkala, Bloomberg melaporkan pada Jumaat lalu bahawa ‘China melihat Singapura kurang memberi sokongan kepada pelan Xi’, Najib memainkan peranannya untuk menarik Beijing menyertai rancangannya di Malaysia.

Membuka sempadan kepada pelaburan dan projek pembangunan China – kebanyakannya dilihat sukar untuk dilaksanakan bagi jangka panjang – Najib membawa kerajaan China untuk memahami bahawa beliau memerlukan mereka bagi kelangsungan politiknya.

Apabila kesepakatan pembangunan projek Bandar Malaysia dengan China menjadi suatu ‘pertunjukan’, Najib sekali lagi ke China bagi mendapatkan lebih banyak persefahaman ‘atas kertas’ untuk menunjukkan bahawa beliau adalah ‘the man of the moment’.

Tetapi, seperti Bandar Malaysia dan Forest City di Johor Bahru – yang perjanjian kedua-duanya runtuh – adakah kita akan menjangkakan lebih banyak perjanjian lain juga akan musnah pada bulan-bulan yang akan datang?

Dan, bolehkan kerajaan China mempercayai Najib dengan janji yang dibuat kepada mereka, atau Najib sendiri seharusnya bimbang mengenai apa yang pihak China boleh lakukan kerana mereka adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek Forest City dan Bandar Malaysia?

Itupun jika kita percaya kepada laporan daripada Wall Street Journal yang mengatakan kerajaan Chia menarik diri daripada projek Bandar Malaysia kerana ia tidak berminat untuk melabur dalam projek-projek yang berkaitan dengan pembinaan dan pembangunan hartanah.

Minat terhadap projek Bandar Malaysia mungkin lebih, jika mendapat kelulusan Najib bagi pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi yang ditandatangani di antara Malaysia dan Singapura.

Dalam keadaan hal ehwal semasa, kedua-dua – Malaysia dan China – bermain tarik tali, di mana China membenarkan dirinya ditarik ke dalam pelan dalaman Malaysia, manakala Beijing pula menarik Kuala Lumpur ke dalam projek One Belt One Road (OBOR).

Minggu lalu, Najib ketika lawatan ke Beijing berkata, Malaysia sekali lagi menandatangani beberapa lagi perjanjian bernilai berbilion-bilion ringgit dengan China dan syarikat dari negara itu.

Dengan China menjemput seluruh dunia untuk melabur dalam OBOR – di mana ia mempertahankannya sebagai idea sendiri untuk meningkatkan hubungan perdagangan global – kini ada sesuatu yang tidak betul.

Adakah China mempunyai wang yang mencukupi untuk disalurkan kepada projek berbilion-bilion ringgit yang diumumkan?

Pertama, Xi menjanjikan bahawa China akan membawa AS$100 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun kepada India. Ini bukan satu-satunya janji berbilion-bilion ringgit yang ditabur oleh Beijing, kerana janji-janji telah dibuat seawal 2014 lagi.

Beberapa hari kemudian, pelaburan bernilai AS$100 bilion itu diturunkan kepada AS$20 bilion sahaja.

Kemudian, ada pula bilik pameran amat besar oleh Country Garden Holdings Co di Johor Bahru, di mana pemaju China merancang membina bandar di atas pulau buatan bernilai AS$100 bilion. Ia adalah projek Forest City yang gagal baru-baru ini.

Pemajunya kini dilaporkan berusaha mendapatkan pembeli dari negara-negara Arab bagi menggantikan pembeli dari China, dan menyatakan apa yang berlaku itu adalah disebabkan pertukaran dasar monitari China.

Pemaju memberitahu bahawa pembeli Forest City dari China tidak dapat memindahkan baki deposit pembelian ke Malaysia kerana China melaksanakan dasar kawalan modal.

Begitu juga janji-janji China di beberapa negara lain.

Pada 2015, China mengumumkan ia akan menjadi pemegang saham terbesar dalam Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) bernilai AS$100 bilion.

China juga mendakwa akan melabur berbilion-bilion ringgit di rantau Asean dan di Amerika Syarikat (AS), selain AS$24 bilion di Korea Utara.

Dan pada Disember tahun lalu, South China Morning Post (SCMP) melaporkan China menangguhkan pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi antara Jakarta ke Bandung yang ditandatanganinya bernilai AS$5.1 bilion.

Projek itu berdepan peningkatan kos, apabila perubahan reka bentuk mengancam jumlah anggaran awal pembiayaan di antara AS$5.5 bilion hingga AS$5.9 bilion.

Tetapi, pemaju infrastruktur Cina masih memainkan peranan penting dalam rancangan Indonesia memperluaskan bekalan elektrik kepada 35,000MW.

SCMP berkata, yang mengejutkan, projek janakuasa 10,000MW itu siap lewat setahun daripada jadual dan kemudian membiarkan pembekal elektrik tempatan – PLN – berdepan isu penyelenggaraan dan prestasi.

Dan, sekarang apabila pemimpin Malaysia pulang dari China setelah menyertai mesyuarat inisiatif OBOR, Najib hanya memiliki masa yang singkat untuk menyelesaikan isu 1MDB-Bandar Malaysia, sementara beliau akan mengumumkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan mempertahankan UMNO sehingga titisan darah terakhir.

Ketika berucap pada ulang tahun UMNO ke-71 baru-baru ini Najib berkata, beliau dan penyokongnya tanpa ragu-ragu akan mempertahankan UMNO hingga titisan darah terakhir, sekali gus membawa makna ‘sanggup menumpahkan darah’.

Terdapat cakap-cakap bahawa Wanda Group akan mengambil alih mengetuai projek Bandar Malaysia, tetapi bukannya dengan membeli saham – tidak seperti konsortium IWH-CREC yang menandatangani perjanjian pembelian 60 peratus saham projek itu.

Dengan tawaran itu hanya di atas kertas saja, dan sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak selepas PRU, ia adalah cerita lain.

Itulah sejauh mana perjanjian Malaysia-China, dengan Najib mengharapkan China menunaikan janji, majlis mewah untuk menandatangani perjanjian dan rundingan pelaburan China yang dikatakan semakin meningkat di Malaysia, adalah sebahagian daripada rancangan Barisan Nasional untuk meraih sokongan pengundi.

Akhirnya, semua ini adalah mengenai Najib hendak menyelamatkan diri. Sama ada ia berjaya atau tidak, bergantung kepada bagaimana rakyat Malaysia membuang undi kelak. – Agensi

The post Persefahaman ‘atas kertas’ Malaysia-China dan kelangsungan politik Najib appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian