‘Jangan beri ruang sektor swasta tak guna bahasa Melayu’

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 14 Safar 1439H, Jumaat – Kerajaan tidak sepatutnya memberi ruang kepada sektor swasta untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi mereka, kata Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada sektor swasta yang perlu menggunakan bahasa lain untuk berurusan dengan pihak luar negara.

“Mereka boleh gunakan bahasa lain bagi memudahkan urusan, tetapi bagi urusan dalam negara terutamanya yang melibatkan agensi kerajaan, maka mereka perlu diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan.

“Dalam masa sama, kerajaan mestilah memberi galakan ataupun insentif kepada pihak swasta untuk mengadakan kursus serta latihan kepada kakitangan supaya mahir bahasa Melayu.

“Mesyuarat, laporan, nama-nama syarikat, tulisan-tulisan di syarikat, semua ini perlu diberikan penumpuan oleh pihak swasta untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon, yang mengatakan kerajaan tidak berhasrat mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi syarikat swasta, kerana mereka berurusan dengan pihak luar.

Selain itu, Haji Aminuddin mencadangkan supaya kerajaan memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau dan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Lebih praktikal katanya, di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka mesti diwajibkan menggunakan bahasa Melayu, terutama ketika mesyuarat, pengendalian kursus dan latihan.

“Dan adalah lebih berkesan jika kerajaan sendiri meminda peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk memberi lebih kuasa terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

The post ‘Jangan beri ruang sektor swasta tak guna bahasa Melayu’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian