Survival dalam Akademik dan Dakwah Tarbiyah Merentasi Masa

Alhamdulillah, segala pujian dan syukur hanya kepada Allah swt. Bermula dengan usrah “suka-suka” pada tahun 2004, saya tidak pernah terfikir bahawa ia akan membentuk siapa diri saya lebih sedekad selepas itu. Saya mula terlibat dalam dakwah dan tarbiyah secara serius sejak berada dalam tahun kedua di universiti, namun ia tidak pernah menyebabkan saya mengabaikan pengajian saya atau mengubah cita-cita saya untuk berjaya dalam bidang perubatan, malahan lebih menguatkan cita-cita tersebut.

Pada mulanya saya diminta berkongsi rahsia “kejayaan” saya, tetapi saya lebih suka menggunakan perkataan “survival”, oleh kerana saya percaya saya masih dalam perjalanan dan kejayaan sebenar hanyalah apabila berjaya di akhirat nanti, tetapi semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi motivasi dan pedoman buat orang lain. Jika ditanya apa rahsia survival dalam bidang akademik dan kerjaya, dan juga dakwah dan tarbiyah, saya boleh merumuskannya dalam beberapa catatan ini.

  1. Faham keutamaan

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia” (Al-Qasas:77)

Tarbiyah mengajar saya untuk meletakkan niat yang betul kerana Allah dalam setiap perkara, dan mengingatkan saya kepada matlamat utama hidup ini iaitu balasan syurga dan nikmat di akhirat nanti. Namun begitu seperti disebutkan di dalam ayat di atas, kita digalakkan untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan di dunia selagimana ia tidak mensasarkan kita daripada matlamat sebenar kehidupan ini, malahan menjadi suatu ibadah jika niatnya betul dan tidak melanggar hukum Allah.

Maka, perlunya pengurusan masa supaya kedua-duanya tidak terabai. Semasa belajar di universiti dahulu, ada kalanya saya terpaksa mengulangkaji pelajaran sambil mendengar ceramah, atau membawa tugasan universiti ke program tarbiyah. Musim cuti pula dihabiskan dengan program agama dan jaulah seperti ‘winter trip’ ke negeri lain. Setelah mula bekerja, saya cuba istiqamah walaupun ianya semakin sukar. Apabila memahami keutamaan, maka perlunya usaha yang lebih kuat untuk sentiasa memberi yang terbaik dalam pelajaran mahupun dakwah atau tarbiyah. Tak dinafikan, menyeimbangkan pelbagai tuntutan dan tanggungjawab merupakan satu cabaran, tetapi lebih mudah jika diiringi dengan keyakinan terhadap pertolongan-Nya.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7)

Saya sangat tersentuh dengan ayat ini sejak pertama kali mendengarnya. Ia sangat relevan dan saya sangat meyakini apa yang Allah janjikan dalam ayat ini. Setiap kali saya merasa malas atau lemah, saya akan mengingati ayat ini dan janji Allah yang benar. Bantulah agama Allah, Allah akan menolongmu dalam urusanmu.

  1. Tiada jalan mudah

“Work smart, don’t work hard” kata orang. Tetapi saya berpegang kepada “work smart AND hard” kerana tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan. Menghadiri semua kuliah, tutorial dan melaksanakan semua tugasan dengan baik merupakan asas kepada seorang pelajar yang baik. Saya jarang sekali ponteng kuliah atau menghantar tugasan lewat. Di samping itu, perlu adanya perancangan masa, study group dan sebagainya untuk cemerlang dalam bidang akademik. Alhamdulillah saya tidak pernah gagal di universiti dan berjaya mendapat ijazah dalam tempoh 6 tahun yang diberi.

Namun begitu, dalam fasa pasca siswazah iaitu semasa latihan kepakaran, saya beberapa kali gagal dalam peperiksaan yang perlu diambil. Mungkin fasa kehidupan ketika itu lebih mencabar kerana terpaksa belajar sambil bekerja, ditambah dengan komitmen terhadap keluarga dan anak-anak kecil. Walaupun kecewa, tetapi saya tekad dengan memberi usaha yang lebih dan mengorbankan lebih banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan saya berjaya pada kali kedua. Saya percaya, Allah hanya akan memberi kejayaan buat mereka yang berusaha bersungguh-sungguh.

  1. Pengorbanan

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Untuk memenuhi tuntutan dakwah, tarbiyah, kerjaya, keluarga dan pelajaran sudah pasti perlunya pengorbanan segala aspek. Pengorbanan itu perit, tetapi saya selalu mengingatkan diri bahawa keperitan itu tidak lama, kerana akan disusuli kejayaan yang akan memudahkan banyak perkara. Semasa dalam latihan kepakaran, saya dan keluarga terpaksa berpindah ke bandar kecil yang jauh, langsung tidak dapat pulang bercuti ke Malaysia, setiap hari bekerja manakala hujung minggu pula dihabiskan untuk belajar, disamping terlibat dengan usrah, mesyuarat-mesyuarat organisasi dan program agama. Masa untuk anak-anak sangat terhad, kerana saya dan suami sama-sama terlibat. Tetapi saya meletakkan niat selepas habis pengajian dan menjadi doktor pakar, saya akan bekerja  dan memberi lebih masa dan perhatian buat anak-anak dan keluarga. Maka ia menjadi motivasi yang kuat untuk saya bekerja keras mendapatkan kejayaan dalam bidang kerjaya saya.

  1. Saya bukan diri saya sekarang tanpa dakwah dan tarbiyah

Dakwah dan tarbiyah telah banyak membentuk diri dan sikap saya, dan saya percaya terlalu banyak yang dakwah dan tarbiyah “berikan” kepada saya yang membantu saya untuk berjaya. Saya belajar untuk menjadi seorang muslimah yang baik, memahami tujuan hidup saya, menjadi seorang pemimpin, dan perlunya mencapai kecemerlangan dalam kerjaya untuk kepentingan umat. Selain daripada itu, soft-skills seperti kemahiran pengucapan umum, pengurusan masa dan mengendalikan pelbagai ragam manusia juga antara perkara yang saya perolehi daripada komitmen saya dalam dakwah dan tarbiyah. Maka, tidak mungkin saya memisahkan kehidupan saya daripada dakwah dan tarbiyah, kerana terlalu banyak manfaat yang saya peroleh dan memberi komitmen kepadanya merupakan satu cara untuk saya menzahirkan kesyukuran saya kepada Allah.

  1. Pasangan yang menyokong dan berkongsi visi yang sama

Mempunyai seseorang yang memberi dorongan, sokongan dan semangat untuk mencapai cita-cita merupakan satu faktor penting yang tidak dapat dinafikan. Orang itu boleh jadi ibu, bapa, kawan atau pasangan. Dalam situasi saya, suami, ibubapa dan ibubapa mertua memainkan peranan menyokong perjalanan saya semasa terpaksa bekerja dan belajar. Ibubapa kami bergilir-gilir datang ke Australia untuk membantu kami dan kami pernah juga mengambil seorang saudara untuk membantu. Adakalanya menjaga anak-anak, adakalanya membantu menguruskan rumah dan adakalanya memasak. Walaupun bantuan yang nampak kecil, tetapi kesannya sangat besar untuk memudahkan saya menggunakan masa dengan sebaiknya baik untuk belajar, bekerja mahupun untuk urusan dakwah. Suami pula sentiasa menyokong dan tidak kisah untuk menjaga anak-anak atau menguruskan rumahtangga apabila diperlukan.

Urusan seharian seperti menghantar dan mengambil anak sekolah, menguruskan anak-anak di rumah dan urusan rumahtangga semuanya kami bahagikan antara kami. Dalam hal ini, perlunya kesefahaman melalui perbincangan berkala dan bertolak ansur dalam banyak perkara. Antara pengorbanan besar yang suami saya adalah menjadi “stay-at-home-dad” selama setahun untuk memberi peluang saya bekerja di hospital sepenuh masa supaya dapat memenuhi keperluan untuk memasuki program latihan kepakaran. Pada ketika itu, kami mempunyai 2 orang anak berusia 3 tahun dan 1 tahun. Kami tidak mampu untuk menghantar ke pusat jagaan dan tidak ada pengasuh yang kami yakini dapat menjaga mereka dengan sebaiknya dalam keadaan kerja syif siang dan malam yang tidak menentu. Maka kami membuat keputusan untuk berkorban sedemikian. Didikan anak-anak menjadi prioriti dan kami sentiasa berusaha memberi perhatian yang terbaik buat mereka, walaupun terpaksa menanggung sedikit kekurangan dari segi kewangan.

  1. Tidak malu meminta pertolongan apabila tidak berdaya

Dalam cabaran kehidupan yang tidak menentu, ada masanya saya merasa terlalu terbeban atau tertekan. Mengimbangi urusan kerjaya, belajar, mendidik anak, menguruskan rumahtangga, dakwah dan tarbiyah bukan mudah, dan lebih susah lagi apabila timbul masalah seperti isu di tempat kerja dan sebagainya. Contoh yang paling mudah, kegagalan dalam belajar. Saya pernah gagal dalam peperiksaan beberapa kali, dan gagal itu dengan margin yang sangat sedikit. Yang paling teruk, gagal dengan margin 0.11 %. Saya perlu membayar beribu-ribu dolar mengambil peperiksaan demi peperiksaan dan ada yang memerlukan saya bermusafir jauh dan meninggalkan anak-anak selama beberapa hari. Oleh sebab itu, apabila saya gagal dengan margin yang sangat sedikit, kecewanya begitu perit sehingga tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Kemudian saya terpaksa menunggu 6 bulan lagi untuk mencuba sekali lagi. Tak dinafikan saya pernah merasa sedih dan berputus asa. Namun dengan adanya sokongan daripada suami dan keluarga, saya mengambilnya dengan positif dan merancang dengan lebih baik. Antaranya dengan mengambil kursus-kursus persediaan, tutor persendirian, balik lewat dari kerja untuk belajar dan sebagainya untuk membantu saya lulus. Selain itu, suami dan keluarga saya juga banyak membantu untuk memberi peluang saya membuat persediaan dengan sebaiknya untuk peperiksaan. Pada masa yang sama, saya mengurangkan sedikit tugasan dakwah untuk memberi fokus kepada pengajian saya. Namun begitu, saya berbincang dengan naqibah dan mencari jalan yang terbaik supaya tidak timbul masalah. Kita hanya manusia yang lemah dan tidak kebal, dan sekuat manapun kita, ada masanya kita perlu mengakui kelemahan diri dan cuba menampungnya melalui perancangan yang teliti dan sabar.

  1. Yakin dengan pertolongan-Nya

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7)

Saya ulangi ayat ini kerana mesej dan kesannya terlalu besar. Tidak dinafikan perlunya usaha dalam mendapatkan kejayaan, tetapi adakalanya kita begitu lemah hinggakan hanya Allah yang mampu membantu kita. Pernah dalam peperiksaan semester di universiti, saya langsung tidak tahu jawapan kepada satu soalan esei, kemudian saya ‘goreng’ sahaja satu dua baris jawapan, selainnya hanya ruang kosong dalam kertas itu. Tetapi dengan izin Allah, saya lulus. Saya merasakan seolah-olah pemeriksa kertas saya mungkin kabur matanya kerana saya hampir yakin saya akan gagal. Semasa mengambil peperiksaan OSCE iaitu peperiksaan akhir dalam bidang kepakaran saya pula, saya membuat sangat banyak kesilapan ditambah pula Allah mentakdirkan saya sakit perut sepanjang peperiksaan selama 5 jam itu. Saya merasakan saya tidak dapat buat yang terbaik dan berlaku beberapa insiden yang telah menyebabkan saya hilang tumpuan dan membuat kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku. Saya hampir pasti yang saya akan gagal, namun Allah mentakdirkan untuk saya lulus. Saya menerima keputusan peperiksaan dengan linangan air mata, kerana saya sangat yakin ini kerja Allah kerana tidak mungkin saya berjaya dengan prestasi saya yang kurang memuaskan semasa itu. Alhamdulillah, Allahuakbar!

Kesimpulannya, kita adalah seorang Muslim sebelum kita adalah seorang anak, isteri, atau doktor (atau apa sahaja jawatan kerja). Jelasnya matlamat kita sebagai seorang Muslim, maka mudahnya kita menyusun kehidupan kita dalam setiap urusan. Kita harus yakin dengan janji Allah dan sentiasa mengharapkan bantuan-Nya. Namun, ia perlu diiringi usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan, sambil bertawakkal kepada-Nya. Jangan sekali-sekali menyalahkan dakwah dan tarbiyah, atau menganggapnya sebagai penghalang, kerana Allah telah menciptakan kita sebagai khalifah dengan kudrat yang tersendiri. Dan akhirnya berjaya atau tidak, masuk ke syurga atau tidak adalah hanya dengan izin Allah jua.

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj:78)

 

Dr Marlina Ab Rahman

FRACGP, MBBS, B.Med Sc, Dip. Child Health

Timbalan Ketua Biro Tarbiyah Cawangan Queensland,

Isma Australia.

Dr Marlina merupakan graduan The University of Melbourne dalam bidang perubatan, dan kini merupakan seorang Fellow dalam Royal Australian College of General Practitioners iaitu doktor pakar dalam bidang General Practice.

Beliau kini menetap di Queensland, Australia bersama suami dan 3 orang anak.

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian