Amah warga Indonesia didera meninggal
BUKIT MERTAJAM, 25 Jamadilawal 1439H, Ahad – Pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, di sini, meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita dikenali sebagai Adelina, 21, berasal dari Medan, Indonesia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.45 petang selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
“Bedah siasat ke atas wanita itu akan dijalankan kira-kira jam 9 pagi esok bagi mengetahui punca sebenar pembantu rumah berkenaan meninggal dunia,” katanya di sini, malam ini.
Katanya, seorang wanita dan abangnya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita itu direman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Beliau berkata, polis akan merakamkan percakapan semua saksi termasuk jiran, ejen pembantu rumah, rakan-rakan mangsa serta doktor yang merawat wanita berkenaan.
Pembantu rumah yang telah dua tahun bekerja di rumah majikannya itu mengalami kecederaan lebam pada kepala dan muka serta kecederaan luka bernanah pada tangan dan kaki kiri serta kanan.
Wanita itu diselamatkan jam 8 malam semalam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang pembantu kepada seorang wakil rakyat di Bukit Mertajam memaklumkan pembantu rumah berkenaan telah didera.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anita,40-an berkata pembantu rumah itu dibiarkan tidur di lantai luar depan rumah dengan hanya beralaskan tikar buruk bersama seekor anjing. – Bernama
The post Amah warga Indonesia didera meninggal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan