Peguam Syarie gesa semua negeri pinda enakmen tambah kuasa Mahkamah Syariah

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 18 Jamadilawal 1439H, Ahad – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa semua kerajaan negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, langkah itu perlu untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi majlis, di bawah enakmen berkenaan.

Katanya, pindaan sedemikian telah pun dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mei 2015, dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015).

Bagaimanapun ia juga perlu dilakukan oleh negeri-negeri lain, sebagai ‘wake-up call’ segera kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri.

“Semua negeri perlu memperkemas undang-undang syariah masing-masing, agar dapat melindungi kepentingan orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil, dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Malahan, mahkamah menegaskan bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Musa berpendapat, apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah disebabkan Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana Jawatankuasa atau institusi di bawah Majlis Agama Islam.

“Disebabkan itu, apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan dibawa ke mahkamah Sivil.

“Maka, di situlah berlakulah campur tangan mahkamah sivil terhadap perkara-perkara yang sepatutnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah,” katanya.

The post Peguam Syarie gesa semua negeri pinda enakmen tambah kuasa Mahkamah Syariah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian