Rasuah: Timbalan pengurus besar GLC ditahan

KUALA LUMPUR, 20 Jamadilawal 1439H, Selasa – Seorang timbalan pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan penyalahgunaan kuasa melibatkan transaksi mencurigakan bernilai lebih RM2.4 juta.

Menurut sumber SPRM, timbalan pengurus besar berusia 44 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor, kira-kira 3 petang semalam.

Turut ditahan, seorang pengarah projek GLC berusia 55 tahun dan pembantu peribadi kepada timbalan pengurus besar berkenaan yang berusia 34 tahun di lokasi sama.

Sumber SPRM berkata mereka ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor bagi melayakkan menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan bagi kerja-kerja penyelenggaraan landskap daripada GLC berkenaan.

“Hasil siasatan SPRM mendapati timbalan pengurus besar dan pengarah projek itu secara langsung akan memastikan kontrak landskap bawah seliaan mereka dianugerahkan kepada lapan syarikat melalui tiga peringkat iaitu ‘E-Bidding’, ‘One-off Contract’ dan ‘Maintenance’ berjumlah kira-kira RM44 juta,” katanya kepada Bernama.

Menurut sumber itu, timbalan pengurus besar akan mengarahkan eksekutif GLC untuk memberi markah 80 peratus kepada syarikat kontraktor bertanggungjawab atas kerja-kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan.

Sementara pengarah projek yang mempunyai bidang kuasa melantik kontraktor, pembekal dan jururunding selain meluluskan pembayaran, juga akan meluluskan tuntutan dikemukakan kontraktor-kontraktor berkenaan supaya mereka menerima bayaran penuh seperti dinyatakan dalam kontrak.

“Menerusi maklumat awal diperoleh pasukan penyiasat, didapati terdapat bayaran mencurigakan berjumlah melebihi RM2.4 juta dimasukkan ke akaun bank milik timbalan pengurus besar syarikat dan isterinya daripada lapan syarikat kontraktor berkenaan melalui empat proksi.

“Selain itu, empat individu lain yang merupakan proksi bagi pembayaran transaksi akaun timbalan pengurus besar berkenaan, turut ditahan pada 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM, Shah Alam, Klang dan Melaka bagi membantu siasatan kes berkenaan berlaku antara 2013 dan 2017,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, pasukan penyiasat SPRM turut menyita 15 akaun milik timbalan pengurus besar tersebut dan syarikat kontraktor bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan kesemua tangkapan itu, dan berkata pasukan penyiasat sudah pergi ke beberapa lokasi termasuk syarikat kontraktor untuk mengambil dokumen-dokumen berhubung siasatan kes tersebut.

“Kami akan meneliti semua dokumen yang dirampas untuk mengenal pasti sama ada wujudnya elemen rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Azam berkata, kesemua suspek terbabit dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, untuk mendapatkan perintah reman ​​​​​​bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- Bernama

The post Rasuah: Timbalan pengurus besar GLC ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian