Fatwa, hukum Islam: Rujuk mufti bukan ‘ustaz media sosial’

Nur Syahirah Che Yaacob

BANGI, 28 Muharram 1439H, Rabu – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas beberapa pihak terutama ‘ustaz media sosial’ kerana mengeluarkan fatwa pelik serta mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan apa-apa isu yang berbangkit hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti, khususnya mufti yang dilantik secara sah oleh sultan dan raja di negeri masing-masing.

“Sejak kebelakangan ini terlalu banyak fatwa pelik-pelik dan mengelirukan masyarakat dikeluarkan oleh ‘ustaz-ustaz’ dan penceramah agama. Ada yang baru popular melalui program realiti TV mahupun media sosial juga sudah berani meletakkan hukum sewenang-wenangnya.

“Selepas isu dobi, terkini timbul pula isu seperti ‘haram gunting rambut dengan bukan Islam’ dan pelbagai lagi hingga cetus pelbagai polemik dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di facebook beliau, hari ini.

Asyraf Wajdi berpesan supaya orang ramai merujuk kepada pihak yang benar-benar berautoriti dalam hal ehwal hukum dan fatwa kerana sejajar dengan kaedah fekah yang menyatakan keputusan (atau fatwa) hakim atau mufti (yang dilantik pemerintah) mengangkat segala perbezaan pandangan.

Oleh itu, katanya, sebarang hukum yang dikeluarkan oleh individu tidak kira berstatus ulama sehingga kepada penceramah agama, akan kekal sebagai pandangan agama masing-masing yang tiada apa-apa kesan perundangan.

“Sesuatu pandangan agama yang sah dan mempunyai kesan perundangan hanya apabila telah diputuskan oleh para Mufti yang selalunya dibahaskan secara jemaah dengan Jawatankuasa Fatwa (ijtihad jamaie) sebelum diangkat kepada DYMM Tuanku Sultan. Jika diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan dan diwartakan barulah fatwa tersebut sah, mempunyai kredibiliti dan mengikat dari segi perundangan.

“Justeru, hormatilah autoriti agama dan hentikanlah menyebar dan menular ‘fatwa-fatwa pelik’ daripada individu-individu selain Mufti yang hanya akan mencetuskan kekeliruan, kekeruhan dan polemik yang tidak menguntungkan bahkan boleh menjadi fitnah kepada kesucian agama Islam,” katanya.

The post Fatwa, hukum Islam: Rujuk mufti bukan ‘ustaz media sosial’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian