Sotong Terengganu bebas virus, selamat dimakan

KUALA TERENGGANU, 18 Muharram 1439H, Ahad – Bekalan sotong di Terengganu adalah selamat untuk dimakan dan bebas daripada sebarang virus, kata Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali.

Beliau berkata, ia adalah hasil analisis oleh Makmal Biosekuriti Jabatan Perikanan di Kuantan, Pahang ke atas tiga sampel sotong dari pasar Chabang Tiga, Pasar Besar Kedai Payang dan jeti Pulau Kambing, Sabtu.

Analisis itu dibuat berikutan dakwaan seorang individu yang memuat naik status di Facebook, tiga hari lalu, kononnya lambakan sotong berlaku di negeri ini akibat jangkitan virus dan ia akan dihantar ke pasar borong di Selayang, Selangor, katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Kepayang di sini, hari ini.

Katanya, susulan itu, Persatuan Nelayan Negeri (Penentu) membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, petang semalam.

Zawawi berkata, Penentu juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sebagai pengajaran agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat salah sehingga menimbulkan keresahan di kalangan pengguna.

“Sekiranya berlaku perkara seumpama itu, sudah pasti Jabatan Perikanan mengeluarkan larangan menjual sotong kepada orang ramai dan kami tidak sesekali akan menyembunyikan perkara mustahak seperti itu,” kata Zawawi.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Kedai Payang mendapati tiada lambakan sotong seperti yang didakwa sebaliknya peniaga memaklumkan bekalan sotong tidaj mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Peniaga sotong, Zaid Ibrahim, 53, berkata, beliau menjual antara 100 hingga 150 kilogram pelbagai jenis sotong setiap hari dan ada kalanya mencecah hingga 200 kilogram.

“Setakat ini, jualan sotong masih laris macam biasa dan kami para peniaga di sini tidak ada menerima sebarang aduan mengenai sotong yang dijangkiti virus,” katanya yang berniaga di situ sejak 35 tahun lalu.

Seorang peniaga kedai makan dari Gong Badak, Mohd Ridwan Mohd Ali, 38, pula berkata jualan sotong di kedainya tetap laris seperti biasa walaupun terdapat dakwaan yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu.

“Setiap hari saya akan datang ke sini kerana bekalannya adalah segar. Tidak mungkin berlaku sebarang virus seperti yang disebarkan,” katanya yang memuji tindakan pantas Jabatan Perikanan yang turun padang demi memastikan keselamatan pengguna. – Bernama

The post Sotong Terengganu bebas virus, selamat dimakan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian