ismakualaterengganu

UAE salah percaturan haramkan wanita Tunisia naiki Emirates

TUNIS, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Ketegangan yang semakin meningkat antara Tunisia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung tindakan Emi...

TUNIS, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Ketegangan yang semakin meningkat antara Tunisia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung tindakan Emirates Airline mengharamkan wanita Tunisia menaiki pesawat mereka, adalah suatu kesilapan dalam perhitungan politik, yang menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Penganalisis politik dan Pengarang MideeastWire.com, Nicholas Noe berkata, langkah kontroversi UAE menunjukkan ketidakmatangannya dalam perspektif politik dan keselamatan.

“Jika kita percaya terdapat kebimbangan yang mendasari hal keselamatan, maka pastinya cara di mana ia ditangani, mewakili kesilapan dalam perhitungan dan ketidakmatangan politik,” katanya.

Pengumuman UAE bahawa Emirates Airline tidak akan menerima penumpang wanita dari Tunisia, Jumaat lalu, menerima kecaman pelbagai pihak termasuk kerajaan dan kumpulan hak asasi manusia.

UAE kemudian menyatakan keputusan itu dibuat kerana kepentingan keselamatan dan ancaman pengganas.

Sementara UAE menegaskan mereka berusaha menenangkan keadaan, Tunisia bertindak balas dengan menggantung semua penerbangan Emirates dari atau ke Tunisia.

Emirates adalah syarikat penerbangan Dubai, tetapi penganalisis percaya langkah yang dianggap sebagai polisi luar UAE itu dibuat oleh Abu Dhabi. UAE adalah persekutuan tujuh buah emiriah.

Selain Emirates, UAE mempunyai tiga lagi syarikat penerbangan iaitu Air Arabia yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah; Etihad Airways (Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi) dan Flydubai (Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum).

Kekuasaan di kalangan keluarga diraja Abu Dhabi dikatakan dimiliki Putera Mahkota, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

“Apa yang kelihatan seperti UAE tidak sepatutnya digunakan untuk permainan politik demokrasi, kerana Tunisia adalah negara demokrasi sebenar.

“Tunisia memiliki rekod hak asasi wanita dan pergerakan wanita yang kuat. Dan, pegawai UAE tidak mempunyai kematangan politik untuk berurusan dengan demokrasi,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Luar Tunisia, Khemaies Jhinaoui memberitahu stesen radio Shems FM, Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed Al Nahyan, menghubunginya dan memohon maaf terhadap pengharaman itu.

Beliau berkata, permohonan maaf secara terbuka juga perlu dibuat, kerana keputusan pengharaman itu dilihat sebagai satu diskriminasi terhadap wanita Tunisia.

Penganalisis politik, Youssef Cherif pula berkata, tindakan UAE itu adalah reaksi berlebihan yang memburukkan lagi ketegangan antara dua negara.

Keretakan hubungan kedua-dua negara bermula ketika revolusi Tunisia pada 2011 apabila Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang mempunyai hubungan kukuh dengan UAE, digulingkan.

Ketika pemerintahan Zine Al Abidine, Tunisia adalah rakan dagang kedua terbesar UAE di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Hubungan kedua-dua negara menjadi buruk apabila parti Islam sederhana, Ennahdha, dipilih menerajui pentadbiran Tunisia, tidak sampai setahun selepas Zine El Abidine dipaksa meletak jawatan. – Agensi

The post UAE salah percaturan haramkan wanita Tunisia naiki Emirates appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 7004818032346849361

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item