Tugas berat menanti Neelofa di AirAsia
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Dengan melantik seorang usahawan bertudung memakai pakaian menutup aurat, saya percaya CEO AirAsia mempunyai pandangan yang positif dan percaya kewajipan menutup badan dalam kalangan wanita Islam yang bekerja di sana. Seperti kata Neelofa, pencapaian ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk semua wanita di luar sana.
Justeru, selepas ini, jagalah martabat wanita. Saya harap selepas ini paramugari Islam AirAsia juga akan diberikan kebebasan untuk menutup badannya sekalipun tidak bertudung. Saya juga amat mengharapkan Neelofa akan melontarkan cadangan ini kepada AirAsia.
Amat malang sekali apabila anak-anak gadis kita bukan sahaja tidak bertudung, tetapi dibiarkan memakaikan skirt singkat di atas paras lutut dan baju terlalu ketat dengan dada yang terbuka. Kecualilah mereka suka buka-buka.
Kadang kala begitu jelek melihat di KLIA2, wanita berpakaitan merah dengan skirt yang terlalu pendek dan dada terbuka. Begitu kebaya putih yang jarang dengan kain terbelah tanpa jahitan.
Bila menaiki ERL bersama, terkulat-tukat di bangku ERL untuk memanjangkan skirt yang pendek tersebut dan merapatkan pehanya serapat-rapat agar tidak terbuka. Jika itu diterima sebagai norma, duduk sahaja lah dengan skirt yang terbuka, kenapa menjadi terkulat-kulat dan merapatkan peha.
Saya amat yakin jika AirAsia dapat mengenakan etika berpakaian bersopan, maka semakin ramai, pakcik dan makcik, pak aji dan mak aji akan memilih AirAsia. Berilah pilihan kepada paramugari yang ingin menutupi badannya daripada terbuka luas
Saya tersangat pelik, pakaian paramugaranya begitu menutupi badan sehingga hanya menampakan muka dan tapak tangan. Sebaliknya, paramugari begitu terbuka, ketat, sendat, seksi dan terbuka. Yang melihat pula bukan seksi tapi seksa. Mahu jual apa sebenarnya?
Saranan ini juga selaras dengan syor Senator Hanafi Mamat yang mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peraturan pakaian baharu supaya dapat memberi gambaran Malaysia sebagai negara Islam dan memegang ciri-ciri budaya Timur yang kuat. Saya sangat teruja dengan pandangan ini.
Sedih sekali mendengar respon Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), sebarang langkah mengubah pakaian seragam anak kapal syarikat penerbangan supaya ia mematuhi kehendak Islam hanya boleh dilakukan melalui syarikat baharu yang terikat dengan pengawasan kualiti menurut syariah. Nufam berkata, gesaan seperti itu tidak wajar dan menyalahi amalan memberikan kebebasan kepada kakitangan.
Soal pakaian seragam, bukan isu kebebasan kepada kakitangan, tetapi ditetapkan oleh syarikat terbabit. Mereka mahu mengubahnya atau tidak?
Menurut Nufam, apa yang diamalkan hari ini tidak boleh diubah kerana syarikat ditubuhkan atas konsep berlainan. Konsep apa yang dimaksudkan? Membelah dan mendedah? Kenapa skirt yang sepatutnya di bawah paras lutut, tetapi disingkatkan sampai atas lutut. Bila pula kebebasan tersebut diberikan, menggunting skirt yang sepatutnya dipanjangkan?
Saya bukan maksudkan pemakaian tudung, tetapi cukuplah bersopan mengikut nilai-nilai ketimuran. Hak individu apa yang dimaksudkan kerana mereka yang bekerja di sana terpaksa memakai uniform yang telah ditetapkan? Kata Nufam lagi, biarlah pakaian tudung itu bersesuaian dengan tempat kerja juga? Adakah industri penerbangan tidak sesuai bertudung? Cuba kaji berapa banyak kapal terbang yang membenarkan kakitangannya bertudung. Nufam ini buat kajian ke tidak?
Malangnya, masih ada mangkok hayun yang tidak faham, datang berurusan dengan pejabat kerajaan dengan pakaian yang sangat seksi dan berseluar pendek. Kependekkan seluar sersebut, seolah menampakkan sebenarnya mereka tidak berseluar.
Kita jauh sekali mahu menjadi sebuah negara Taliban dengan menguatkuasakan peraturan sebegini, tetapi sekadarkan menunjukkan ciri-ciri ketimuran yang berbeza dengan nilai kebaratan.
Sepatutnya perkara ini sudah lama dikuatkuasakan. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Syarikat penerbangan atau pihak yang mengeluarkan lesen. Kita yang berkuasa meluluskan semua lesen dan permohonan. Takkan kita tidak boleh mengenakan beberapa syarat mengikut norma dan nilai murni masyarakat Timur, kecualilah sekiranya kita terlalu elergi dengan nilai-nilai Islam.
Sama juga isu pihak berkuasa tempatan yang meluluskan pelan-pelan bangunan. Takkan tidak terfikir langsung nama-nama bangunan yang langsung tidak mencerminkan jati diri Malaysia. Begitu juga dengan kedudukan surau yang sangat menyusahkan untuk umat Islam yang membeli-belah untuk bersolat kerana diletakkan di lokasi yang sangat tersorok seperti yang saya bangkitkan sebelum ini.
Lagipun kalau dilihat secara mendalam, kebanyakan pengerusi syarikat-syarikat besar seperti syarikat penerbangan ini, selalunya terdiri daripada mereka beragama Islam. Mereka inilah yang dipergunakan menduduki jawatan pengerusi eksekutif bagi memudahkan urusan mendapat bisnes, tender, kontrak dan lesen.
Apakah pengerusi-pengerusi yang dilantik ini sudah lupa dengan nilai-nilai ketimuran dan keIslaman. Takkan dengan elaun yang diberikankan membutakan mata kita sehingga tidak dapat membezakan mana dia baik dan mana dia buruk. Bersuaralah dan beri pandangan untuk menyelamatkan anak-anak Melayu daripada terlalu kebaratan.
Lebih jahil lagi apabila membaca kolumnis The Malay Mail Online yang berkata pramugari yang menutup aurat belum tentu dapat menyelamatkan kapal terbang daripada terhempas. Jika begitulah keadaan, tidak ada sebarang kemalangan yang akan berlaku di Makkah dan di Madinah kerana di situ terletaknya Kaabah dan makam baginda Rasulullah SAW. Begitu juga tsunami tidak akan berlaku kerana di situ terdapat ramai umat Islam. Ternyata beliau teramat jahil murakkab dalam memahami qada dan qadar. Orang sebegini hanya Islam pada namanya sahaja.
Kita sedang soal kesopanan dan kesusilaan sesuai dengan nilai-nilai ketimuran, tiba-tiba si jahil ini bercakap soal kapal terbang terhempas atau tidak.
Apakah ada berpandangan pelancong datang untuk menyaksikan keseksian paramugari kita. Jika demikian keadaannya, amat lah malang, kerana di Barat bukan sahaja mereka seksi, tetapi boleh bertelanjang, malah berbogel sekalipun.
Seperti yang selalu saya sebutkan tidak ada satu agama pun yang menggalakkan berpakaian seksi kecuali kita terpengaruh dengan budaya negatif Brat. Semua agama mahukan kita berpakaian sopan. Cuma agama Islam lebih terkehadapan mahukan kita menutup aurat.
Lebih pelik lagi, begitu sedih menaiki kapal terbang tempatan kita, lagu-lagu dan muzik yang dipasangkan langsung tidak mencerminkan semangat Malaysia. Kebanyakan senarai lagu-lagu yang diputarkan ketika berlepas dan mendarat adalah lagu-lagu Barat yang kadang kala senikatanya begitu lucah.
Adakah kita sudah ketandusan lagu-lagu dan muzik tempatan sehingga menyebabkkan langsung seni budaya kita tidak dimain dan diputarkan dalam kapal terbang? Saya sangat teruja lagu-lagu etnik Malaysia diputarkan, tidak kiralah Melayu, Cina, India, atau Bumiputera Sabah Sarawak. Pokoknya melambangkan Malaysia bukan Barat. Saya amat yakin mereka yang ke Malaysia mahu mendengar semua ini. Bukan muzik dan budaya mereka yang sudah basi dan jemu.
Saya harap teguran ini diambil secara serius kerana dalam sebuah negara demokrasi, semua berhak memberikan pandangan secara umum sama ada dia pakar atau tidak. Paling baik, memanglah sepatutnya pakar yang memberikan pandangan secara mendalam. Tetapi apabila pakar berdiam diri, akhirnya terpaksalah yang bukan pakar umum bercakap.
Tetapi bila bukan pakar bercakap, jangan pula memangsakan mereka. Kerana mereka ada hak untuk bercakap. Kecualilah kita mengamalkan sistem komunis.
Kepada Neelofa, tahniah! Lakukanlah yang terbaik untuk AirAsia.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Tugas berat menanti Neelofa di AirAsia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan