Hadi bentang usul mahkamah syariah bukan hudud, kata Najib

najib

KUALA LUMPUR, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa kerajaan telah membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) hudud di Parlimen, semalam.

Katanya, Abdul Hadi hanya membentangkan RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 bagi meningkatkan hukuman sedia ada.

“Ada salah faham yang besar bahawa bila Tuan Haji Hadi bawa RUU Persendirian itu, mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud.

“Abdul Hadi sering dilabel dan dikaitkan dengan hudud. Bila dia bangkit (bawa usul) saja, dianggap hudud. Pindaan tersebut bukan undang-undang hudud,” katanya, malam tadi

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong yang meletak jawatan dan keluar parti sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan usul persendirian itu.

“Ini yang nak saya terangkan di sini, bahawa pindaan (yang di bawa) itu bukan hukum hudud.

“Ia merupakan apa yang di katakan sebagai ‘enhanced punishment’, peningkatan hukuman daripada enam kali rotan kepada beberapa kali, tertakluk kepada kesalahan tertentu,” katanya.

Bagaimanapun Najib menegaskan bahawa pindaan itu tidak bermaksud ia mudah untuk dilaksanakan tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak lain.

“Ia memerlukan kebenaran dan kelulusan daripada Majlis Agama Islam peringkat negeri, Majlis Raja-Raja dan pindaan undang-undang oleh Parlimen,” katanya lagi.

Khamis lalu, Hadi dilaporkan membentang usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan mengikut seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian