MAIPk sasar pungut zakat RM150 juta tahun ini

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Terkini 2016-2017

TELUK INTAN, Khamis – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyasarkan kutipan zakat tahun ini meningkat lebih 10 peratus kepada RM150 juta berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata ini berikutan jumlah individu pembayar zakat di negeri ini meningkat antara 2,000 dan 3,000 setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Alhamdulillah kutipan zakat meningkat setiap tahun berikutan lahirnya kesedaran diri membayar zakat hasil beberapa aktiviti berterusan seperti Program Jejak Asnaf yang dilakukan.

“Pada 2014, kutipan direkodkan adalah sebanyak RM120 juta dan kemudian meningkat kepada RM135 juta pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bayaran kepada beberapa pusat rawatan dialisis, kontraktor, wakil sekolah serta penerima bantuan sempena Program Penyerahan Bantuan Asnaf Zakat MAIPk di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Amiruddin, jumlah agihan melebihi kutipan zakat setiap tahun berlaku akibat peningkatan jumlah miskin bandar terutama yang tinggal di bandaraya Ipoh.

“Kutipan zakat pada tahun lepas umpamanya sebanyak RM135 juta namun agihannya adalah RM139 juta. Jelas sekali tidak timbul isu wang zakat yang terkumpul tidak dibelanjakan yang sering ditimbulkan dalam media sosial masa kini,” katanya.  

Dalam pada itu katanya, sejumlah RM3.46 juta agihan zakat disalurkan MAIPk melalui pelbagai bentuk bantuan di daerah Hilir Perak sepanjang empat bulan tahun ini.

Amiruddin berkata bentuk agihan zakat itu meliputi enam bentuk bantuan iaitu bantuan persekolahan, bina rumah, rawatan dialisis, baik pulih rumah, bantuan modal dan bantuan am pelajaran kepada 516 penerima.

Daripada nilai keseluruhan peruntukan itu, pembayaran untuk bantuan rawatan dialisis dikenal pasti menerima agihan tertinggi apabila sejumlah RM2,635,025 juta disalurkan kepada 42 orang tahun lalu.

Ia diikuti bantuan pembinaan 12 rumah (RM514,000), bantuan am persekolahan kepada 151 orang (RM81,100), bantuan persekolahan kepada 297 pelajar dari kalangan keluarga miskin (RM79,300), bantuan modal kepada sembilan penerima (RM77,240) dan bantuan baik pulih lima rumah (RM75,000). – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian