PAS bukan saja menang ceramah tapi mampu kekal di Kelantan
Oleh Athirah Huda Zalhe
GOMBAK, Khamis – PAS menyangkal dakwaan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Selangor yang menyifatkan jentera pilihan raya parti itu bukan faktor utama untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, apa yang didakwa oleh pemuda parti serpihan PAS itu adalah tidak benar.
Ini berikutan katanya, PAS memerintah Kelantan bermula daripada 1959 sehingga 1978 dan kemudian menawan semula negeri itu pada 1990 adalah bukti bahawa parti itu tidak hanya menang pada ceramahnya sahaja.
“Beliau cakap itu ada asasnya. Memang ceramah adalah medium yang PAS buat kerana kita tidak memiliki media lain.
“Kalau dia anggap bahawa PAS hanya menang pada ceramah sahaja, untuk undi PAS kalah, itu adalah tidak benar. Kita memerintah Kelantan sudah lama, dan kita menang sehingga hari ini. Maka tidak betul dakwaan kata kita menang pada ceramah sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas ceramah perdana Road to PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi mendakwa sekuat mana pun jentera PAS, jika ia tidak diterima pengundi, PAS akan kalah juga.
Mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Ustaz Idris berkata, PAS belum membuat keputusan muktamat mengenai calonnya.
“Calon PAS ramai sangat yang berwibawa, tetapi tak mahu bertanding, sedangkan ahli UMNO berebut nak bertanding. Buat masa ini, kita sudah ada lapan calon semuanya. Bermakna, empat di kerusi Sungai Besar dan empat lagi di Kuala Kangsar,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan