Gabung Mahkamah Syariah, Sivil langkah terbaik selesai isu tukar agama

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 12 Jamadilawal 1439H, Isnin – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penukaran agama anak bawah umur 18 tahun memerlukan persetujuan kedua ibu bapa menunjukkan berlakunya pertembungan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, masalah konflik bidang kuasa ini akan reda jika dicantumkan kedua mahkamah berkenaan menjadi satu institusi yang tunggal, dengan menjadikan prinsip Islam sebagai rujukan utama.

“Saya percaya perbahasan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang lama. Penyelesaian terbaik ialah dengan menggerakkan usaha untuk mengharmonikan kedua-dua institusi mahkamah ini dengan tersusun dan berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, yang memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Ketika mereka diislamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, disertai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; Tan Sri Abu Samah Nordin; dan Tan Sri Ramly Ali, membuat keputusan sebulat suara.

Fathi berkata, keputusan kes berkenaan menggambarkan betapa konflik yang berlaku adalah satu perkara yang besar.

Jelas beliau, penjelasan panjang Mahkamah Persekutuan berkait dengan kesan Perkara 121(1A) menggambarkan betapa konflik yang berlaku adalah satu perkara yang besar, bukan sekadar isu perebutan anak dan seumpamanya.

“Kes ini belum mampu memadamkan konflik yang berlaku, bahkan mungkin akan menambahkan kekusutan kepada masalah sedia ada. Misalnya, pendirian mahkamah yang mengambil tafsiran sempit dalam menjelaskan peranan Mahkamah Syariah adalah satu yang ganjil.

“Konsep struktur asas Perlembagaan sepatutnya dilihat secara lebih luas dengan mengambilkira aspek sejarah dan unsur tradisi negara. Mahkamah Syariah tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman, bahkan ia adalah sebahagian dari institusi kehakiman itu sendiri.

“Jika ia ditafsirkan sebagai berada di luar institusi kehakiman dan pada kedudukan lebih rendah, maka secara tidak langsung ia adalah satu bentuk diskriminasi terhadap orang Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

The post Gabung Mahkamah Syariah, Sivil langkah terbaik selesai isu tukar agama appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian